"Saya sangat bangga dengan Ahmad Haikal, apatah lagi dia sangat meminati bidang robotik sejak kecil lagi."
Itulah perkongsian seorang ibu, Rosnita Razali, apabila anaknya, Ahmad Haikal Abdul Shukor berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Ahmad Haikal yang merupakan pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 5 (1), Putrajaya, meraih tempat keempat dalam kategori Puck Collector Senior pada Kejohanan World Robot Challenge ke-23 yang berlangsung baru-baru ini.
Bagi Rosnita, pencapaian tersebut cukup bermakna kerana kejayaan anaknya bukan hadir dengan mudah, sebaliknya hasil minat, usaha keras, latihan berterusan dan sokongan daripada keluarga serta pasukan.
"Dengan pencapaian sehingga ke luar negara, sudah tentu saya sangat bangga sebagai ibu. Melihat minat yang ada dalam dirinya sejak kecil sehingga berjaya sampai ke tahap ini membuatkan saya terharu dan bersyukur," katanya kepada Sinar Bestari.
Menurut Rosnita, Ahmad Haikal bersama pasukan CT030613 yang terdiri daripada Naeshvel Jegan Mohan dan Shahrul Ariq Shahrul Radzlan telah menjalani latihan sejak April lalu sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.
Katanya, mereka menjalani latihan setiap minggu di Asia Pacific University (APU), Bukit Jalil, selain mengikuti latihan intensif di Pejabat Urusan World Of Robotik (W.O.R) di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
"Nampak mereka bersungguh-sungguh berlatih dengan robot BB001927. Mereka benar-benar memberikan komitmen dan tidak mudah berputus asa.
"Alhamdulillah, segala usaha dan latihan akhirnya membuahkan hasil. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama," katanya sambil memaklumkan penyertaan itu merupakan kali ketiga di peringkat antarabangsa selepas Korea Selatan pada 2024 dan Beijing pada 2025.
Menurut Rosnita, pengalaman menyertai pelbagai pertandingan antarabangsa itu juga memperlihatkan kesungguhan Ahmad Haikal dalam bidang yang diminatinya.
"Nampak yang dia memang suka dengan bidang robotik ini. Bila saya tanya cita-cita dia, dia kata mahu menceburi bidang Kejuruteraan Robotik Mekanikal apabila dewasa nanti.
"Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong minat Ahmad Haikal kerana tidak mahu menghalang apa yang dia suka. Sebaliknya, saya mahu dia terus mengembangkan bakat dan kemahirannya.
"Saya juga mohon doa orang ramai agar Ahmad Haikal dan rakan-rakannya terus berjaya dalam bidang yang mereka minati," katanya.
Bagi Rosnita yang merupakan isteri kepada Abdul Shukor Isha, sokongan terhadap minat anak-anak amat penting, terutama apabila mereka mempunyai bakat dan kesungguhan untuk berkembang dalam sesuatu bidang.
Namun, beliau mengakui kos untuk menceburi bidang robotik bukanlah kecil dan perkara itu kadangkala menjadi cabaran kepada anak-anak muda yang berbakat.
"Negara kita ada ramai anak-anak muda yang berkemahiran dan berkepakaran dalam robotik.
"Jadi, besar harapan saya agar ada pihak yang dapat menaja termasuk anak saya atau membantu mereka pergi lebih jauh dalam bidang robotik ini kerana kos yang perlu dikeluarkan adalah tinggi.
"Bagi pihak yang membantu, semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan," katanya.
INFO
Anugerah dan Pencapaian
- Rangkul tempat keempat dalam International Robot Challenge (IRC 2024) di South Korea
- Juara The World of Robotics Championship 2025
- 1st Runner Up di IRC 2025 dan IRC 2026 masing-masing di Beijing
- Penerima Anugerah Khas Pengarah dan Anugerah Khas Juri dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025/2026
- Anugerah Murid Terbaik Kelab dan Persatuan di Majlis Anugerah Semarak Pendidikan sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1)
- Peserta Bengkel dan Mini Pertandingan Robotik Sumo (Mechabot Rush V3) 2025