TVET industri penerbangan buka prospek kerjaya berpendapatan tinggi

Iklan
Abdul Malek (tiga dari kanan) bersama lulusan ADMAL Aviation College yang hadir pada Hari Terbuka & Kerjaya ADMAL Aviation College pada Ahad.

Pandangan sempit yang mengatakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan terakhir untuk melanjutkan pelajaran demi masa depan yang cerah perlu diperbetulkan.

Ketua Pegawai Eksekutif ADMAL Aviation College, Abdul Malek Packeer berkata, kerjaya di dalam bidang TVET melibatkan bidang kejuruteraan kapal terbang atau pesawat sememangnya menjanjikan masa depan yang baik dengan pendapatan lumayan.

Iklan
Iklan

"Kita mengadakan Hari Terbuka & Kerjaya ADMAL Aviation College dengan memberi fokus untuk membuka ruang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ibu bapa mereka mendapatkan maklumat kerjaya dalam bidang TVET penerbangan.

"Selain itu kita juga mengadakan sesi temu duga antara lulusan TVET penerbangan dan pemain industri.

Iklan

"Program ini melibatkan koloborasi antara pihak ADMAL Aviation College dengan beberapa pemain industri tempatan dan luar negara. Koloborasi ini adalah untuk membantu lepasan kolej kami mencari pekerjaan dan kita menolong pihak industri mendapatkan pekerja (yang berkemahiran dan terlatih) yang mereka perlukan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Hari Terbuka & Kerjaya ADMAL Aviation College dan ADMAL Flying Academy di Salak Tinggi pada Ahad.

Iklan

Abdul Malek berkata, pekerjaan dalam bidang TVET penerbangan sentiasa menjanjikan peluang kerjaya yang luas untuk lepasan kolej kejuruteraan penerbangan tersebut.

Katanya lagi, bidang penerbangan bukan sekadar kursus kemahiran memandu kapal terbang yang turut disediakan di ADMAL Flying Academy (di lokasi sama) malahan ia mencakupi kemahiran teknikal selepas pendaratan kapal terbang daripada peringkat menurunkan penumpang dan bagasi, penyenggaraan minyak dan penghawa dingin serta pengurusan membawa masuk dan keluar bekalan makanan penumpang.

"Sebanyak lima pemain industri seperti SIA Engineering Company (dari Singapura), AeroDarat, Base Maintenance Malaysia, Zenix aerospace dan Airod Aerospace Technology hadir untuk temu duga pekerja.

"Macam-macam jenis pekerjaan ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang hadir. Terdapat lima hingga 10 jenis bidang pekerjaan ditawarkan oleh setiap syarikat terbabit," katanya.

Abdul Malek berkata, kehadiran lepasan kolej TVET bukan sahaja melibatkan kolejnya tetapi turut membabitkan lulusan dari kolej TVET lain di negara ini.

Jelasnya yang sudah 25 tahun berpengalaman dalam bidang penerbangan, kehadiran lepasan kolej tersebut untuk sesi temu duga kerja adalah seramai 600 orang dan ia memberi lebih banyak pilihan untuk pemain industri mencari pekerja yang diinginkan.

"Apa yang penting bagi memastikan pekerjaan terjamin, setiap lepasan TVET dari kolej penerbangan mesti mengikuti kursus kemahiran selaras dengan skop pekerjaan yang ditetapkan industri penerbangan itu sendiri.

"Contohnya untuk menjadi Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen (JPPB) sistemnya amat jelas. Begitu juga untuk menjadi juruterbang. Segala sistemnya telah ditetapkan oleh industri penerbangan yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," ujarnya.