Siapa sangka, seorang guru sebenarnya mempunyai tiga laluan perlindungan keselamatan sosial bergantung kepada status pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan.
Pengurus Pejabat PERKESO Putrajaya, Norliza Noordin berkata, program Lindung Kasih membuka mata bahawa perlindungan guru tidak terhenti di pagar sekolah.
“Bagi guru tetap sektor awam, khususnya wanita berusia bawah 55 tahun, mereka boleh mendapatkan perlindungan menerusi Lindung Kasih di bawah Akta 838 sebagai wanita yang melaksanakan tugas rumah tangga.
“Ini termasuk risiko ketika memasak, menguruskan anak, membeli keperluan rumah atau dalam perjalanan menjalankan urusan tersebut,” katanya.
Tambah Norliza, guru sektor swasta pula dilindungi melalui Lindung Pekerja di bawah Akta 4.
“Perlindungan termasuk kemalangan berkaitan pekerjaan dan skim perlindungan 24 jam dengan manfaat seperti rawatan perubatan, faedah hilang upaya sementara dan kekal, pemulihan serta faedah berkaitan keilatan atau kematian.
“Lebih menarik, cikgu yang melakukan kerja sambilan seperti mengajar tuisyen pada hujung minggu juga boleh mendapatkan perlindungan melalui Lindung Kendiri di bawah Akta 789.
“Perjalanan pergi, ketika melakukan pekerjaan dan perjalanan pulang turut termasuk dalam perlindungan yang ditetapkan,” ujarnya.
Ujar Norliza, matlamat perlindungan sosial bukan sekadar membayar pampasan, tetapi memastikan pencarum dapat kembali bekerja dan terus menyumbang kepada masyarakat.