Bukan calang-calang! ASWO buktikan bakat anak Malaysia mampu gegar pentas dunia

Iklan
ASWO ketika menggegarkan pentas dengan persembahan orkestra di Kerkrade baru-baru ini.

Baru-baru ini, Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) dari Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya melakar kejayaan membanggakan apabila meraih Anugerah Emas (Gold Award) dalam kategori Wind Band - Youth Division pada World Music Contest (WMC) 2026 di Kerkrade, Belanda.

Kejayaan itu dicapai oleh 49 pelajar yang bukan sahaja membawa nama ASWO dan SAS, malah menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas muzik antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurut Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, Profesor Dr Aida Nur Ashikin Abd Rahman, penyertaan dalam WMC merupakan satu pengalaman yang amat bermakna kerana pertandingan berprestij itu menghimpunkan kumpulan muzik dari pelbagai negara.

"Peluang untuk ASWO berdiri di pentas dunia dan berinteraksi dengan kumpulan muzik dari pelbagai negara memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar. 

Iklan

"WMC bukan sekadar pertandingan untuk mendapatkan anugerah. Ia merupakan peluang untuk membawa nama Malaysia dan SAS ke pentas antarabangsa, di samping memberikan pengalaman yang dapat membentuk para pelajar dari segi disiplin, keyakinan diri, kepimpinan dan kerja berpasukan," katanya ketika di temu bual Sinar Bestari baru-baru ini.

Iklan

Ujarnya, kejayaan meraih emas menjadi bukti segala usaha, latihan, disiplin dan pengorbanan para pelajar, guru, jurulatih, ibu bapa serta seluruh komuniti ASWO membuahkan hasil.

Latihan bukan sekadar bermain muzik

Di sebalik kejayaan di pentas antarabangsa, perjalanan 49 pelajar ASWO yang dipimpin oleh Konduktor, Muhammad Asyhari Hussaini dengan bimbingan Cikgu Penasihat, Siti Rodiah Mohd Ali bukanlah mudah.

Persediaan dilakukan secara menyeluruh merangkumi aspek muzik, mental, fizikal, disiplin dan pengurusan diri.

Dari sudut muzik, para pelajar menjalani latihan berterusan dengan penekanan terhadap ketepatan teknik, intonasi, keseimbangan bunyi antara seksyen, artikulasi, dinamik dan ekspresi.

 

Mereka turut menjalani latihan mengikut seksyen sebelum digabungkan dalam latihan penuh sebagai sebuah (ensembelwind orchestra

"Sesi latihan dan bimbingan secara intensif bersama konduktor, jurulatih serta tenaga pengajar turut dilaksanakan bagi memastikan repertoire pertandingan dapat dikuasai dengan baik.

"Persediaan mental juga diberikan perhatian kerana para pelajar perlu membuat persembahan di hadapan panel juri antarabangsa serta bersaing dengan kumpulan yang mempunyai pengalaman luas di peringkat dunia," kata Dr Aida dengan menambah persediaan itu bukan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu sahaja, sebaliknya melalui proses panjang dan berperingkat. 

 

Cabaran kewangan tidak mematahkan semangat

Menurut Dr Aida, antara cabaran terbesar yang dihadapi sebelum pertandingan berlangsung adalah keperluan kewangan yang tinggi untuk membawa 49 pelajar menyertai pertandingan di Belanda.

Ujarnya, kos yang perlu ditanggung merangkumi penerbangan, penginapan, pengangkutan, makanan, penyertaan pertandingan serta pelbagai keperluan lain sepanjang berada di negara berkenaan.

"Alhamdulillah, kami amat bersyukur atas sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta para dermawan yang telah banyak membantu meringankan beban kewangan kontinjen.

"Sokongan tersebut memberi peluang kepada anak-anak ASWO untuk bersama-sama menyertai pertandingan di pentas antarabangsa dan merasai pengalaman yang sangat berharga," ujarnya.

Emas bukan noktah, sebaliknya permulaan perjalanan lebih jauh

Mengulas tentang harapan terhadap ASWO selepas kejayaan di pentas antarabangsa, Dr Aida berkata, pencapaian meraih emas merupakan satu permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang.

Menurutnya, walaupun anugerah itu amat dihargai, perkara yang lebih penting ialah ilmu dan pengalaman yang dibawa pulang oleh para pelajar selepas menyertai pertandingan tersebut.

"Selepas pertandingan WMC, para pelajar berpeluang menyertai sesi band clinic bersama pengajar dan pemuzik antarabangsa yang berpengalaman.

"Peluang tersebut merupakan pengalaman pembelajaran yang sangat bernilai kerana para pelajar dapat menerima pandangan, teguran dan tunjuk ajar secara langsung daripada pengajar muzik di peringkat antarabangsa.

"Melalui sesi berkenaan, mereka juga dapat mengenal pasti aspek yang masih boleh diperbaiki termasuk dari segi teknik permainan, interpretasi muzik, keseimbangan ensemble, intonasi serta persembahan secara keseluruhan," katanya.

Menerusinya, pendedahan sedemikian membantu ASWO menilai kekuatan dan kelemahan mereka, selain terus menambah baik kemahiran setiap individu serta meningkatkan kualiti ASWO sebagai sebuah ensemble.

"Bagi kami, kejayaan di WMC bukanlah noktah. Kami mahu anak-anak ini pulang bukan sekadar membawa sebuah anugerah, tetapi membawa pulang ilmu, pengalaman dan perspektif baharu yang boleh dikongsi dengan generasi ASWO yang seterusnya.

"Saya berharap ASWO akan terus menjadi platform untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang muzik, malah memiliki disiplin, kepimpinan, keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan," akhiri beliau.

INFO

Latar belakang SAS

  • SAS merupakan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Premier untuk pelajar lelaki yang mula beroperasi pada 7 Februari 1963 di Cheras, Kuala Lumpur, dengan nama asal Sekolah Alam Shah.
  • Pada 2003, sekolah itu berpindah ke kampus baharu di Putrajaya sebelum secara rasmi dinamakan SAS pada 2006.
  • SAS mempunyai sejarah panjang dalam melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sukan, selain identiti tersendiri melalui cogan kata 'Chita, Usaha, Jaya'. 
  • Sementara itu, ASWO ditubuhkan pada 1996 sebagai salah satu aktiviti kokurikulum sekolah.
  • Sepanjang hampir tiga dekad, ASWO telah berkembang daripada sebuah kumpulan kokurikulum kepada sebuah wind orchestra yang aktif menyertai pertandingan dan persembahan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
  • Kekuatan ASWO bukan hanya terletak pada bakat muzik. Ia dibina melalui budaya sekolah yang menggalakkan pelajar untuk berusaha, berdisiplin dan mengejar kecemerlangan dalam pelbagai bidang. 

Anugerah dan pencapaian

  • 2026 - Gold Award, Wind Band Youth Division, WMC, Kerkrade, Netherland.
  • 2026 - Gold Medal and 1st runner up untuk Concert Band Scholastic A division challenge class dan Concert Band Scholastic A Premier Class in Malaysia international wind festival (MiwFest) 2026 dan Best Conductor Award untuk kedua-dua kategori.
  • 2026 - Anugerah Emas dan Tempat Ketiga keseluruhan ensembel, dan Anugerah Percussion Section Terbaik di Festival Wind Orchestra 2026 bertempat di Universiti Putra Malaysia pada 11 hingga 13 Ogos lalu.
  • 2025 - Division Champion, Gold Award dan Best Conductor, Malaysia International Wind Festival (miwFEST).
  • 2025 - Division Champion, Gold Prize, Best March dan Excellent Conductor, 6th North Eastern Winds International Festival (NEWFEST), Korat, Thailand.
  • 2024 - Champion, Gold Prize with Distinction serta Best Percussion Section, Best Woodwinds Section, Best Brass Section dan Best Conductor dalam Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan.
  • 2023 - Gold Award dan Laureate of the 1st Prize, Wind Orchestra Section, Junior Artist Category14th World Open Music Competition. Konduktor ASWO turut menerima pengiktirafan Virtuoso Performer. 
  • ASWO juga mempunyai sejarah penyertaan di pentas antarabangsa dan pelbagai persembahan berprestij termasuk penyertaan di Summer Band Music Festival di Jeju, Korea Selatan.