8 tahun menanti, akhirnya JWO menangis saat emas jadi milik mereka

Iklan
Lapan tahun menanti, akhirnya impian JWO untuk menggenggam Anugerah Emas menjadi kenyataan. Gambar kecil: Mohd Hamy Faizal (berbaju koko) tidak mampu menahan air mata ketika JWO menerima anugerah yang dinanti-nantikan.

Selama lapan tahun, JeSS Wind Orchestra (JWO) dari Sekolah Menengah (SM) Sains Jeli, Kelantan menyimpan satu impian yang belum kesampaian iaitu membawa pulang Anugerah Emas dalam Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Impian itu tidak pernah padam meskipun perjalanan mereka penuh dengan cabaran.

Iklan
Iklan

Pada penyertaan pertama pada tahun 2018, JWO meraih Anugerah Gangsa. Namun, pencapaian itu tidak membuatkan mereka berpuas hati.

Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki persembahan. Usaha itu membuahkan hasil apabila JWO berjaya meningkatkan pencapaian kepada Anugerah Perak pada 2024 dan 2025.

Iklan

Tahun demi tahun mereka mencuba. Tahun demi tahun juga mereka belajar.

Sehinggalah tiba 2026 apabila mereka menyertai Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan Kali Ke-24 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di mana Anugerah Emas akhirnya menjadi milik mereka.

Iklan

Benarlah, ada impian yang tidak hadir ketika kita mahu, tetapi hadir tepat pada waktunya.

Menurut Jurulatih JWO, Mohd Hamy Faizal Othman, kejayaan itu cukup bermakna kerana pasukannya melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh persiapan.

"Akhirnya segala yang kami angankan selama ini menjadi kenyataan. Kekurangan dari segi kelengkapan kami cuba tukarkan menjadi kekuatan.

"Kami gunakan apa yang ada dan cuba cari jalan supaya latihan tetap dapat dijalankan.

"Daripada segala kekurangan yang kami ada, akhirnya kami berjaya memperoleh emas pertama di pertandingan ini," katanya kepada Sinar Bestari.

Air mata selepas lapan tahun

Kemenangan itu bukan sekadar tentang sebuah pingat.

Ia adalah tentang segala penat lelah, pengorbanan dan keyakinan yang dibina selama bertahun-tahun.

Mohd Hamy Faizal berkata, detik paling mengharukan berlaku ketika keputusan diumumkan.

Katanya, apabila pengacara majlis menyebut, 'Kita akan beralih ke Anugerah Emas', seluruh warga JWO yang berada di dalam dewan tidak mampu menahan air mata.

"Air mata itu hadir kerana mereka benar-benar memahami perjalanan yang dilalui untuk mencapai keputusan tersebut.

"Kami tahu pasukan ini serba kekurangan tetapi kami mahu buktikan bahawa kami juga mampu bersaing walaupun tidak mempunyai jurulatih berbayar dan banyak perkara dibangunkan sendiri secara home-grown.

"Apabila keputusan diumumkan, segala penat lelah, masalah instrumen dan cabaran sepanjang latihan terasa berbaloi," katanya sebak.

Tabah berdepan cabaran

Di sebalik persembahan yang memukau di pentas pertandingan, tersimpan kisah perjuangan yang mungkin tidak diketahui ramai.

Mohd Hamy Faizal berkongsi, beberapa instrumen mengalami kerosakan ketika pertandingan semakin hampir.

Ada yang terpaksa dibaiki sendiri oleh jurulatih dengan berpandukan tutorial di YouTube, manakala sebahagian lagi tidak sempat dibaiki sepenuhnya.

Namun, cabaran paling mendebarkan berlaku kira-kira dua minit sebelum persembahan.

Ketika berada di tuning room, tali snare drum JWO terputus.

Dalam keadaan masa yang begitu singkat, tiada ruang untuk panik. Sebaliknya, 55 pelajar JWO tetap meneruskan persembahan dengan penuh keyakinan.

Cabaran itu tidak menjadi alasan untuk mereka mengalah. Mereka memilih untuk terus bermain. Dan akhirnya, pilihan itu membawa kepada emas.

Menurut Mohd Hamy Faizal lagi, kejayaan JWO bukanlah hasil usaha pelajar dan jurulatih semata-mata.

Ia turut didukung alumni, warga sekolah dan komuniti JWO yang terdiri daripada ibu bapa serta bekas ibu bapa anggota pasukan.

"Alumni tampil membantu sebagai pembantu jurulatih selain berkongsi pengalaman dalam bidang muzik.

"Komuniti JWO pula menolong mendapatkan dana bagi keperluan makanan tambahan, kos perubatan dan perbelanjaan tambahan sepanjang pertandingan.

"Mereka turut membantu menyediakan uniform persembahan supaya para pelajar dapat tampil lebih yakin ketika bersaing dengan pasukan lain yang lebih berpengalaman.

"Sokongan turut diterima daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya melalui peluang untuk menggunakan dan mencuba beberapa instrumen yang tidak dimiliki JWO," ujarnya.

Untuk info, festival yang berlangsung dari 10 hingga 13 Ogos 2026 itu menghimpunkan 18 pasukan dari seluruh negeri.

JWO tampil dengan 55 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat dengan mempersembahkan Devious Dance karya Dakota Pederson dan Tarian Overture karya Yeo Chow Shern.

Persembahan luar biasa itu dipimpin Konduktor, Auni Sahira Azmi dengan bimbingan Mohd Hamy Faizal sendiri.