Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri, sekali gus mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka.
Penganugerahan itu disempurnakan bersempena sambutan Hari Jadi ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam hari ini.
Turut menerima D.G.S.M yang membawa gelaran sama ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.
Penerima lain termasuk Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris; Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh, keseluruhan penganugerahan berkenaan mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap individu yang telah memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang, selain memainkan peranan dalam pembangunan serta kesejahteraan negeri.
Tokoh pendidikan dan undang-undang
Fadhlina bukan nama asing dalam dunia pendidikan negara. Beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada 3 Disember 2022 dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.
Sebelum menceburi arena politik, beliau mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan.
Fadhlina memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dan Undang-undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Ijazah Sarjana Undang-undang (LLM) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga merupakan anak kepada tokoh pendakwah dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil.
Penganugerahan D.G.S.M ini menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat beliau dalam kepimpinan serta perkhidmatan kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan.
Kami di Sinar Bestari merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Pendidikan atas penganugerahan ini.
Semoga pengiktirafan yang diterima terus menjadi pemangkin untuk beliau memperkukuh usaha membawa pendidikan negara ke arah yang lebih baik serta memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.