Empat murid, empat kejayaan! Pahang cemerlang di Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan

Iklan
Kontinjen Pahang tampil cemerlang apabila merangkul beberapa anugerah dalam Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan 2026 baru-baru ini.

Empat murid Pahang mengukir kejayaan bermakna apabila masing-masing meraih anugerah dalam Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan Tahun 2026 di Hotel Geno, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penerima-penerima tersebut ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Nur Afrina Sofea Mohamad Mahros yang dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Video TV PSS Kategori Sekolah Menengah dan murid SK Bandar Jerantut, Qaisara Muharrar Mohd Ridwan (Tempat Ketiga Video Kreatif TV PSS Kategori Sekolah Rendah).

Iklan
Iklan

Turut mencipta kejayaan ialah murid SK Tok Sera, Muhammad Iftitah Ikhwan Norazlan (Tempat Ketiga Pembaca Bestari Kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu) dan pelajar SMK Bukit Rangin, Puteri Ilhan Khalisya Mohamad Dzadil Syakirin (Tempat Keempat Pengkarya Muda Kategori Sekolah Menengah Bahasa Inggeris).

Iklan

Kualiti jadi keutamaan

Mengulas kejayaan Nur Afrina Sofea, Guru Pembimbing SMK Seri Pekan, Cikgu Azleen Fazlia Abu Kassim berkata, aspek kualiti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap video yang dihasilkan oleh pasukan TV PSS sekolah berkenaan.

Iklan

Menurutnya, setiap penghasilan video diberi penekanan dari segi kualiti kandungan, penyampaian wartawan, visual, rakaman dan penyuntingan bagi memastikan hasilnya berkualiti serta setanding dengan penerbitan penyiaran televisyen.

"Pendekatan ini turut memberi ruang kepada mereka mempelajari proses penerbitan secara lebih profesional, termasuk kemahiran komunikasi, kewartawanan, penulisan skrip, pengacaraan, videografi, penyuntingan dan penerbitan kandungan digital," katanya yang juga Guru Perpustakaan dan Media.

Tambah beliau, pencapaian tersebut turut mencerminkan peranan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan TV PSS yang kini bukan sekadar menjadi medium penyampaian maklumat, malah berfungsi sebagai platform pembelajaran kreatif untuk mencungkil bakat murid dalam bidang media, teknologi dan penyiaran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Kamil Baharuddin berkata, pencapaian empat wakil tersebut memperlihatkan potensi besar murid Pahang dalam pelbagai bidang yang diketengahkan menerusi program NILAM.

"Pencapaian ini menyerlahkan potensi mereka dalam aspek budaya membaca, kreativiti, komunikasi, pengkaryaan serta penghasilan kandungan digital.

"Kejayaan berkenaan turut membuktikan bahawa murid mampu menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang kreativiti digital, videografi, penyiaran, penulisan dan komunikasi apabila diberikan ruang, peluang serta bimbingan yang sewajarnya," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru pembimbing, ibu bapa, pentadbir sekolah serta seluruh warga pendidikan yang sentiasa memberikan bimbingan dan sokongan kepada murid sepanjang persediaan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Menurutnya, pencapaian itu diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid di Pahang untuk terus membudayakan amalan membaca, mengembangkan bakat dan kreativiti serta berani mencabar diri untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Anugerah kemuncak pada majlis tersebut menyaksikan murid SK Medini, Johor, Isyaa Jasmine Sharishen dinobatkan sebagai Tokoh NILAM Kebangsaan 2026 bagi Kategori Sekolah Rendah.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak, Muhammad Adam Irzaq Mohd Fatimie Irzaq pula diangkat sebagai Tokoh NILAM Kebangsaan 2026 bagi Kategori Sekolah Menengah.