Terapkan adab, disiplin pelajar

Iklan
Peserta Human Graphic bersungguh-sungguh mengibarkan bendera mengikut koreografi yang disediakan.

Di sebalik gerakan seragam dan formasi yang kelihatan sempurna di mata penonton, Human Graphic 2026 kali ini membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar persembahan visual.

Ketua Jurulatih, Ahmad Hafiz Awaludin berkata, setiap langkah, perubahan posisi dan arahan yang dipatuhi menjadi ruang untuk murid membina nilai diri daripada adab dan disiplin hinggalah kemahiran bekerja dalam pasukan.

Iklan
Iklan

“Sebagai murid di bawah KPM, perkara pertama yang jurulatih nak terapkan adalah adab. Selain daripada ilmu pengetahuan yang dapat diperolehi, semestinya keyakinan anak-anak ini untuk berada di hadapan khalayak ramai,” katanya.

Ahmad Hafiz (Gambar kecil)

Iklan

Tambahnya, pengalaman ini bukan hanya tentang menghasilkan persembahan yang menarik perhatian, tetapi turut membentuk keberanian tampil di hadapan khalayak.

“Ilmu yang dipelajari diperkukuh dengan kemahiran, daya tahan dan keyakinan. Inilah elemen penting dalam membentuk generasi murid yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi tahu membawa diri,” katanya.

Iklan

Ahmad Hafiz mengakui ada cabaran besar yang perlu diberi perhatian oleh barisan jurulatih iaitu tahap kesihatan dan kecergasan para peserta.

Ujarnya, Human Graphic memerlukan pergerakan yang energetik dan dilakukan secara berulang sepanjang latihan.

Setiap murid perlu berada pada tahap kesihatan yang baik bagi memastikan mereka mampu mengikuti sesi latihan dengan lancar.

Dari barisan ke hati

Di sebalik formasi besar yang memukau pandangan seluruh rakyat Malaysia semasa Hari Kemerdekaan, ada pengalaman dan keseronokan anak-anak muda yang menjadi nadi kepada pasukan Human Graphic 2026.

Apa yang mereka rasa selepas berbulan-bulan berlatih?

Apakah cabaran yang paling mencabar dan momen yang paling diingati?

Bagi mereka, pengalaman ini bukan sekadar mencipta satu persembahan, tetapi meninggalkan kenangan, membina keyakinan dan belajar erti kebersamaan.

"Ini merupakan tahun ketiga saya menyertai pasukan Human Graphic untuk Hari Kebangsaan. Tidak dinafikan memang seronok dan saya membantu jurulatih dan guru untuk mengajar peserta yang baharu. Sejujurnya tidak ada banyak perubahan pun, cuma Human Graphic ini ikut tema kebangsaan juga.

“Sebagai contoh, pada tahun 2024 melibatkan ‘hand drill’, kemudian ada persembahan koir dan tahun ini ada penambahan pergendangan seperti kompang. “Saya mengharapkan pasukan Human Graphic kali ini buat yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.” - Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, Muhammad Fakhrul Aiman Wilihaslee, 16.

“Saya menyertai pasukan ini kerana mengikuti jejak langkah ibu yang juga merupakan ahli pasukan Human Graphic sekitar 2006 dahulu. Apabila ibu menceritakan pengalamannya membuatkan kami sekeluarga rasa bangga dan ingin mencuba.

“Saya pelajari untuk bekerjasama dengan rakan-rakan lain meskipun baharu saja mengenali mereka semasa latihan Human Graphic. Bagi saya, kalau tersilap langkah atau bendera membuatkan formasi tidak cantik. Kita akan selalu saling mengingati dan membantu jika ada langkah tarian yang sukar.” - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2), Ana Nur Aishah Humairah Muhammad Shafiq, 15

Muhammad Fakhrul Aiman dan Ana Nur Aishah Humairah

"Sebagai peserta Human Graphic, kita perlu belajar tentang sabar kemudian tentang disiplin diri. Bukan itu sahaja, kita juga perlu belajar tentang tarian-tarian baharu, koreografi juga diajar hanya dalam tiga ke empat bulan untuk hampir 20 lagu.

“Sebenarnya saya nak sertai pasukan ini sejak tahun lalu, tetapi sekolah tidak membenarkan pelajar Tingkatan 1. Jadi, semasa pemilihan dan uji bakat, saya buat bersungguh-sungguh supaya terpilih menjadi salah seorang Human Graphic.” - Murid SMK Seri Keramat, Thipikhasree Vikneswaran, 14.

"Saya merupakan pemain ragbi di sekolah. Pada awalnya nampak mustahil untuk saya menyertai pasukan Human Graphic ini tetapi disebabkan ajakan rakanrakan menyebabkan saya ingin mencuba. Saya juga berpeluang menjadi wakil pelajar yang mengajar tarian kepada rakan-rakan di sekolah.

“Saya juga ada tersilap langkah dan mengangkat bendera semasa formasi berlaku. Saya serba salah sangat walaupun tidak dimarahi jurulatih. Apabila di rumah, saya terus berlatih di hadapan cermin supaya tidak melakukan kesilapan sama.” - Murid SMK Methodist (Acs), Muhammad Amin Zafri Al Hafez, 13.

Dari kiri Thipikhasree, Muhammad Amin Zafri dan Ooi Chu Ning

"Selepas menyertai Human Graphic ini, saya berasa bangga dengan diri sendiri malah tidak menyangka boleh menari dan menghafal banyak langkah tarian. Sejujurnya, saya juga sudah menghafal lirik-lirik lagu bahasa Melayu dan itu membuatkan saya gembira.

“Lagu ‘Goyang Kepala Goyang’ membuatkan saya rasa seronok untuk menari dan ternanti-nanti giliran lagu ini.” - Murid SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya, Ooi Chu Ning, 16.