‘Train of Unity’ semarak Bulan Kebangsaan, pelajar KVSB belajar Bahasa Inggeris di luar kelas

Iklan
Pelajar KVSB bergambar sebagai kenangan di kawasan MRT yang dilalui.

Bukan sekadar menaiki transit aliran massa (MRT), sebaliknya perjalanan itu menjadi ‘kelas bergerak’ buat pelajar Kolej Vokasional Sungai Buloh (KVSB) apabila mereka menyertai Program Train of Unity: #AkuKasihMalaysia bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026.

Dianjurkan Unit Bahasa Inggeris KVSB dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), program berkenaan menggabungkan pembelajaran Bahasa Inggeris dengan elemen patriotisme, perpaduan, kreativiti dan kemahiran insaniah.

Iklan
Iklan

Menariknya, penggunaan MRT sebagai medium perjalanan memberi peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran secara lebih autentik apabila mereka dibawa ke beberapa lokasi bersejarah dan ikonik di Kuala Lumpur.

Antara lokasi yang menjadi ‘bilik darjah’ mereka ialah Muzium Negara, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.

Iklan

Di setiap lokasi, pelajar melaksanakan aktiviti berbeza berdasarkan tema patriotisme dan identiti Malaysia.

Di Muzium Negara, mereka menyemarakkan semangat cinta akan negara menerusi nyanyian lagu patriotik, manakala di Pasar Seni, pelajar menjalankan temu bual dalam Bahasa Inggeris dengan membawa tema ‘What makes you proud to be a Malaysian?’

Iklan

Sementara itu, lokasi Dataran Merdeka pula menjadi medan kepada pelajar menguji pengetahuan menerusi Merdeka Quiz.

Bukan itu sahaja, mereka turut diberikan tanggungjawab sebagai pengacara, penemu bual, jurukamera dan pencipta kandungan sepanjang program berlangsung.

Pelajar KVSB bergambar sebagai kenangan di Pasar Seni.

Peranan tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada pelajar menggunakan Bahasa Inggeris dalam situasi sebenar, selain membina keberanian untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat.

Pengalaman berhadapan orang awam juga menggalakkan pelajar keluar daripada zon selesa, sekali gus mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, kreativiti dan kerja berpasukan.

Pendekatan pembelajaran secara interaktif, kolaboratif dan kontekstual itu menjadikan Bahasa Inggeris tidak lagi terhad kepada buku teks atau bilik darjah, sebaliknya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Pada masa sama, aktiviti yang dilaksanakan turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian budaya, kepentingan perpaduan serta identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, Train of Unity: #AkuKasihMalaysia memperlihatkan bagaimana pembelajaran di luar bilik darjah mampu menggabungkan penguasaan bahasa dengan pembentukan sahsiah dan jati diri.

Inisiatif itu juga diharapkan dapat diteruskan sebagai antara pendekatan pembelajaran inovatif KVSB dalam melahirkan pelajar TVET yang bukan sahaja berkemahiran, malah berkeyakinan, kreatif, mampu berkomunikasi dengan baik serta mempunyai semangat patriotisme dan jati diri yang kukuh.