Bukan sekadar menumbangkan lawan, lebih 500 peserta dari beberapa negeri berkumpul di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima bagi menguji ketangkasan, fokus dan keberanian dalam Kejohanan Kesenian & Kebudayaan Seni Bela Diri Taekwondo baru-baru ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia itu menjadi medan buat pelajar dan murid dari pelbagai sekolah memperlihatkan kemahiran seni bela diri dalam suasana penuh semangat kesukanan.
Lebih istimewa, program cetusan idea pengasas persatuan berkenaan, Dr Master Edwin itu turut menghimpunkan guru, ibu bapa dan komuniti sekali gus menjadikan gelanggang pertandingan sebagai ruang mengeratkan hubungan serta menyemai semangat perpaduan.
Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri, kejohanan berkenaan dilihat sebagai salah satu usaha memperkukuh pembangunan Taekwondo di peringkat akar umbi.
Menurut Master Edwin, penganjuran program itu bukan semata-mata untuk mencari juara, sebaliknya memberi ruang kepada generasi muda membina disiplin, keyakinan diri, keberanian, fokus dan semangat perpaduan.
“Kita mahu anak-anak kita bukan sahaja kuat dari segi fizikal, tetapi kuat dari segi mental, disiplin dan jati diri.
“Gelanggang Taekwondo adalah tempat untuk mereka belajar menghormati orang lain, berani mencuba dan menerima kemenangan serta kekalahan dengan matang,” katanya.
Tambah Master Edwin, pengalaman yang diperoleh melalui pertandingan mampu menjadi bekalan penting kepada peserta dalam membentuk peribadi yang lebih yakin dan berdisiplin.
Dalam masa sama, kejohanan sebegini memberi peluang kepada murid untuk belajar bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui kemenangan, tetapi turut melalui keberanian mencuba, kemampuan mengawal emosi dan kesediaan menghormati lawan.
Bukan itu sahaja, pelajar yang mengambil bahagian berpeluang memperoleh markah tambahan dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), tertakluk kepada ketetapan serta pengiktirafan pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Master Edwin berkata, penyertaan melibatkan murid dari pelbagai sekolah dan negeri itu secara tidak langsung memperluas pengalaman mereka dalam dunia pertandingan, selain menjadi platform tersusun untuk mengasah bakat serta kemahiran dalam seni bela diri.
“Lebih penting, pengalaman berada di gelanggang mengajar peserta bahawa kejayaan bukan hanya tentang siapa yang menang, tetapi bagaimana mereka belajar untuk berdisiplin, berani mencuba, menghormati lawan dan bangkit daripada kekalahan.
“Kami berharap peluang sebegini dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai murid untuk menjadikan seni bela diri dan aktiviti kokurikulum sebagai sebahagian daripada pembentukan diri,” katanya lagi
Pada masa sama, acara ‘Speed Kick & Punch’ bukan sekadar menguji kepantasan dan ketepatan peserta, malah melatih fokus, koordinasi serta kawalan diri.
Bagi Master Edwin, kejayaan sebenar dalam Taekwondo bukan terletak pada pingat semata-mata.
“Kemenangan paling besar ialah apabila seorang anak menjadi lebih berdisiplin, yakin, berani dan menghormati orang lain selepas melalui latihan dan pertandingan,” katanya.
Dengan penyertaan 500 peserta dari beberapa negeri, kejohanan ini membuktikan Taekwondo mampu menjadi platform berkesan dalam membentuk bakat, sahsiah dan jati diri generasi muda.