Sekali turun gelanggang, 25 pingat dibawa pulang! Pelajar Malaysia memang padu

Iklan
Kejayaan pasukan Malaysia di Batam bukan sekadar tentang pingat, tetapi turut membentuk keyakinan diri, semangat juang dan disiplin dalam kalangan pelajar.

Seramai 20 pelajar Malaysia mencipta kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa apabila membawa pulang 25 pingat termasuk 14 emas, enam perak dan lima gangsa pada Batam International Taekwondo Championship 2026.

Lebih membanggakan, kejayaan pelajar yang mewakili Hypermax Taekwondo Malaysia itu turut menyaksikan pasukan tersebut dinobatkan sebagai Naib Juara Keseluruhan Pasukan Profesional dan Pasukan Terbaik Kejohanan.

Iklan
Iklan

Kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 6 September lalu di Hotel Pacific Palace, Batam, Indonesia menghimpunkan penyertaan kelab serta wakil negara dalam acara Kyorugi dan Poomsae.

Ketua Jurulatih Hypermax Taekwondo Malaysia, Faiz Safry berkata, pencapaian berkenaan membuktikan pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa menerusi latihan konsisten, disiplin tinggi dan sokongan berterusan.

Iklan

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja membabitkan kemampuan atlet di gelanggang, malah turut membentuk keyakinan diri, semangat juang dan nilai disiplin dalam kalangan pelajar.

"Pencapaian adalah hasil kerjasama antara atlet, jurulatih dan ibu bapa. Setiap pingat yang diraih adalah bukti komitmen serta pengorbanan semua pihak sepanjang persediaan menghadapi kejohanan.

Iklan

"Selain mengejar kemenangan, kita mahu pelajar memahami nilai disiplin, keberanian, hormat dan semangat berpasukan yang menjadi asas dalam seni bela diri taekwondo," katanya.

Dalam kejohanan itu, Muhammad Alif Zhafran Zaidi, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Kategori 12 hingga 14 Tahun selepas memenangi pingat emas dalam acara Kyorugi Profesional.

Bagi kategori Kyorugi Profesional, Hypermax Taekwondo Malaysia berjaya meraih dua pingat emas menerusi Muhammad Alif Zhafran dan Ahmad Haris Danial Ahmad Nazri Ayu dari SMK Bukit Sentosa, Rawang. 

Selain itu, beberapa pelajar turut menyerlah dalam acara Poomsae Profesional dan Amatur apabila menyumbang sebahagian besar kutipan pingat pasukan.

Antara atlet yang mencipta kejayaan dalam acara tersebut termasuk Ayra Nur Arsyila Mohamad Nizam, Muhammad Qaed Aflah Mohammad Al-Faiz, Syafiq Asyraf Mohd Nazeri, Adnan Firdaus Akmal Abdul Rahman dan Hafizul Hasbi menerusi pelbagai kategori pertandingan.

Sementara itu, Faiz berkata, pencapaian di Batam menjadi bukti program pembangunan atlet muda yang dilaksanakan Hypermax Taekwondo Malaysia berada pada landasan tepat.

Katanya, pendedahan menyertai kejohanan antarabangsa penting untuk membina pengalaman serta meningkatkan tahap persaingan pelajar.

"Apabila pelajar diberi peluang bertanding di peringkat lebih tinggi, mereka bukan sahaja menguji kemahiran, malah belajar mengurus tekanan, membina keyakinan dan membawa nama negara dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dari segi masa, tenaga dan komitmen sepanjang proses latihan sehingga pertandingan.

Kejayaan Hypermax Taekwondo Malaysia di Batam membuktikan pelajar negara bukan sahaja mampu menyerlah dalam bidang akademik, malah turut mempunyai potensi besar dalam bidang sukan apabila diberi bimbingan dan peluang yang sewajarnya.