Sekolah Menengah Sains Selangor muncul juara Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) ke-51 bagi kategori bahasa Melayu manakala Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya mengungguli kategori bahasa Inggeris.
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua sekolah membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000, piala iringan dan sijil.
Sekolah Menengah Sains Alam Shah pula muncul naib juara kategori bahasa Melayu manakala Sekolah Menengah Sains Miri meraih kedudukan sama bagi kategori bahasa Inggeris, dengan masing-masing menerima hadiang wang tunai RM20,000 dan sijil.
Pertandingan akhir yang berlangsung di Universiti Multimedia di sini turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, yang menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Fadhlina berkata kejayaan melangkah ke pentas akhir pertandingan merupakan satu pencapaian membanggakan buat pelajar tanpa mengira keputusan yang diraih.
"Saya mahu anak-anak tahu bahawa pencapaian berdiri atas pentas ini adalah pencapaian yang cukup besar dalam kehidupan anak-anak. Tiada siapa boleh menafikannya. Ini merupakan kejayaan membanggakan...iaitu berada di pentas ini,” katanya.
Beliau berkata pertandingan itu juga penting dalam memberi ruang kepada pelajar untuk membina keberanian, kemahiran berhujah dan keupayaan membuat keputusan, selain tidak sekadar menjadi penerima arahan.
Menurut Fadhlina, pertandingan itu turut menyaksikan kemunculan semula beberapa sekolah di pentas akhir selepas sekian lama, termasuk ada yang kembali selepas lebih 12 tahun.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru yang mencurahkan masa dan tenaga dalam membimbing serta melatih pelajar bagi menghadapi pertandingan berkenaan.
Pada program sama, lima sekolah menerima peruntukan masing-masing RM5,000 melalui Akademi Bahas MADANI bagi memperkukuh pembangunan bakat bahas.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Sultan Alam Shah, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Sekolah Menengah Sains Muar, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam dan Sekolah Menengah Sains Sabah.
"Akademi Bahas MADANI ini akan menjadi sebahagian daripada inisiatif kita untuk terus memperkukuh budaya debat dalam kalangan anak-anak kita khususnya di sekolah berasrama penuh (SBP). Jadi kita ucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak dan sekolah, khususnya guru-guru pembimbing, ibu bapa yang datang mendukung anak-anak pada hari ini.
"Dan pastinya pada tahun hadapan, kita mahu menyaksikan lebih banyak bakat baharu dan sekolah-sekolah lain juga masuk ke peringkat seterusnya,” katanya.
Pada edisi ke-51 kali ini, sebuah piala baharu sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenalkan sebagai kesinambungan tradisi perbahasan yang telah bertapak sejak 1974.
Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri bermula pada 1974 di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak, dan diperkenalkan selaras dengan gagasan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein bagi melahirkan bakat pemimpin dinamis, cerdas dan bijaksana khusus untuk SBP. -- BERNAMA