Satukan tiga kaum, semarak semangat Hari Malaysia

Iklan
Siti Kamariah

Berbeza bangsa tetapi mempunyai satu tujuan.

Itulah antara semangat yang jelas terpancar sepanjang program SD Guthrie bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Kuala Selangor, Selangor sempena sambutan Hari Malaysia.

Iklan
Iklan

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah, Siti Kamariah Pakih berkata, program sebegini cukup bermakna kerana memberi ruang kepada murid Melayu, Cina dan India untuk bekerjasama dalam satu pasukan tanpa memikirkan perbezaan kaum mahupun bahasa.

"Bila ada program seperti ini, mereka dapat bekerjasama tanpa mengira kaum dan bahasa. Satu tujuan mereka hanyalah untuk negara. Perbezaan bangsa dan budaya bukan penghalang kerana kita ada satu bahasa iaitu bahasa Melayu, serta kebudayaan kebangsaan yang menyatukan kita," katanya.

Iklan

Bukan itu sahaja, Siti Kamariah mengharapkan semangat perpaduan yang ditunjukkan pelajar tidak terhenti selepas program berakhir, sebaliknya terus menjadi budaya dalam kehidupan seharian.

"Saya mahu apabila mereka keluar dari sekolah nanti, mereka menjadi orang yang berguna kepada negara dan tidak melihat perbezaan sebagai satu halangan untuk berjaya," ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Siti Kamariah turut berharap SD Guthrie dapat meneruskan lebih banyak program bersama pihak sekolah, bukan sahaja berkaitan sambutan kemerdekaan atau Hari Malaysia, malah dalam pelbagai bidang yang dapat memberi manfaat kepada pelajar.