Usaha menyemarakkan budaya inovasi dan mencetuskan idea baharu dalam kalangan warga pendidikan diteruskan menerusi Majlis Memperkenalkan Rakan Sinergi dan Pelancaran Portal K-SEMANIS'26 yang berlangsung di Dewan Karangkraf pada Selasa.
Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Selangor itu menjadi platform untuk guru dan murid berkongsi idea, mengetengahkan hasil inovasi serta amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan dalam proses pembelajaran.
Majlis berkenaan dirasmikan Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Azmuddin Muhamad yang turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan sinergi sebagai tanda pengiktirafan atas sokongan terhadap pelaksanaan K-SEMANIS'26.
Kerjasama strategik bersama rakan sinergi itu dilihat penting bagi membantu menjayakan pelbagai aktiviti, khususnya dalam memperluas usaha mencetuskan idea kreatif dan inovatif.
Untuk rekod, K-SEMANIS atau Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani: Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor bukanlah program baharu dalam kalangan warga pendidikan di Klang.
Penganjurannya sebelum ini membuka peluang kepada guru dan murid untuk mengetengahkan pelbagai hasil inovasi, idea kreatif serta amalan terbaik yang boleh memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Bagi edisi 2026, K-SEMANIS membawa penekanan baharu dengan penerapan elemen Kepintaran Buatan (AI) dan pendigitalan sebagai antara fokus utama.
Pendekatan itu selaras dengan perkembangan teknologi semasa selain mengambil kira keperluan generasi muda yang semakin terdedah kepada penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Diharapkan K-SEMANIS'26 terus menjadi wadah yang menyatukan guru dan murid dalam mencetuskan idea, berkongsi kepakaran serta menghasilkan inovasi yang mampu memberi manfaat lebih luas kepada komuniti sekolah.