Ada pertandingan yang tidak sekadar berakhir dengan keputusan dan piala, namun yang penting ia meninggalkan kesan besar dalam diri seorang peserta.
Oleh yang demikian Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan (ATNK) 2026 tidak sekadar medan menguji kehebatan membaca, malah menjadi ruang untuk murid meneroka potensi diri, membina persahabatan dan mengasah kemahiran baharu.
Bermula dengan sesi suai kenal pada hari pertama, setiap peserta diberi peluang memperkenalkan diri dan berkongsi matlamat masing-masing.
Bagi murid Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Tang Zer Vee, impiannya mahu memberikan persembahan terbaik, bertemu rakan baharu dan mengumpulkan pengalaman berharga.
“Interaksi bersama rakan daripada latar belakang berbeza membuka peluang memperbaiki komunikasi, manakala kemahiran seperti penyuntingan video menambah pengalaman baharu.
“Bermula sebagai seorang pembaca, kami pulang dengan keyakinan, persahabatan dan pengalaman yang akan terus dikenang,” katanya.
Lihat dunia melalui buku
Bagi dirinya, membaca bukan sekadar menyelak halaman dan menghabiskan sebuah buku, tetapi peluang untuk melihat dunia melalui perspektif orang lain.
Setiap karya membawa pembaca menyelami idea, kepercayaan dan pengalaman berbeza, sekali gus menyemai rasa ingin tahu serta empati.
Tambah Zer Vee, buku turut menjadi guru yang mengajar cara menggunakan bahasa, membina watak dan menyusun cerita dengan lebih baik.
“Dalam kesibukan dunia digital, membaca menawarkan ruang untuk memperlahankan rentak, menghayati idea dan berfikir dengan lebih mendalam.
“Saya membaca bukan sekadar untuk mengetahui lebih banyak, tetapi melihat, fahami dan merasai dunia dari sudut berbeza,” katanya lagi.
Pengorbanan tinggi
Di sebalik kejayaan seseorang murid dalam pertandingan, tersimpan kisah persediaan, pengorbanan dan cabaran yang tidak semua orang nampak.
Guru pembimbing, Raudah Mat Ali, 35, berkata, tugasnya bukan sekadar memastikan murid menguasai bahan bacaan, malah membina keyakinan untuk berdepan soalan dan menyampaikan idea dengan baik.
Bagaimanapun, persiapan kali ini begitu singkat apabila komitmen pertandingan lain mengehadkan masa bimbingan.
“Beberapa taklimat terpaksa dihadiri seorang diri sebelum maklumat disampaikan kepada murid dalam waktu yang terhad.
“Situasi itu memerlukan kekuatan mental dan persediaan yang rapi daripada kedua-dua pihak. Setiap detik dimanfaatkan sebaik mungkin, dengan harapan usaha yang dicurahkan membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, segala cabaran berjaya dilalui dan membuahkan kemenangan yang diraih Zer Vee, sekali gus bukti bahawa persediaan dan semangat juang mampu membawa kejayaan,” katanya.
Bagi memastikan murid benar-benar menghayati penggunaan bahasa, ujar Raudah, pelbagai pendekatan diterapkan menerusi aktiviti perbualan, pembentangan, penulisan dan bacaan.
“Setiap situasi memberikan peluang kepada murid memilih bahasa serta gaya penyampaian yang sesuai konteks. Pendekatan ini penting supaya murid tidak sekadar mengetahui sesuatu perkataan tetapi faham maksud dan penggunaan dalam kehidupan,” ujar Raudah.