MSU, PERHEBAT perkasa kerjaya veteran ATM

Iklan
Adly (tengah) menyaksikan majlis pertukaran dokumen NoU di antara Mohd Shukri dan Amir di kampus induk MSU, Shah Alam.

Kerjasama strategik buka laluan latihan, pensijilan, keusahawanan dan peluang pekerjaan kepada bakal pesara serta veteran ATM

Management & Science University (MSU) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) memperkukuh usaha pembangunan bakat serta kebolehpasaran anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pasca perkhidmatan menerusi pemeteraian Nota Persefahaman (NoU).

Kerjasama itu dilaksanakan di bawah inisiatif strategik Kerjaya Kedua Perwira bagi menyediakan laluan pembangunan kemahiran dan kerjaya yang lebih tersusun kepada bakal pesara serta veteran ATM.

Iklan
Iklan

Majlis pertukaran dokumen disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, di kampus induk MSU, Shah Alam.

Dokumen ditukar antara Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts Amir Md Noor.

Iklan

Turut hadir, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid dan Pengerusi PERHEBAT, Profesor Emerita Datuk Dr Roziah Omar serta pengurusan kanan kedua-dua institusi.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan program latihan dan pensijilan profesional, selain peluang penempatan pekerjaan bersama anak syarikat MSU di pelbagai bidang sesuai kepakaran, kemahiran dan pengalaman bakal pesara serta veteran ATM.

Iklan

Selaras agenda pembangunan kemahiran negara di bawah Majlis TVET Negara (MTVET), MSU turut melaksanakan program perantisan TVETPreneur bagi memperkukuh keusahawanan berimpak tinggi dalam kalangan kumpulan sasar.

Fasa pertama membabitkan 30 pelatih PERHEBAT dan veteran ATM mengikuti latihan selama tiga bulan di MSU di bawah seliaan MSU Academy dan Faculty of Business Management & Professional Studies (FBMP).

Program tajaan penuh MTVET, merangkumi modul keusahawanan, pembangunan dan pengurusan inkubator, bimbingan mentor serta pakar industri dan latihan praktikal pengurusan perniagaan.

Kerjasama mencerminkan komitmen MSU dan PERHEBAT menyediakan laluan pembangunan kemahiran serta kerjaya tersusun, di samping manfaat pengalaman dan kompetensi veteran ATM.