Sekolah di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, tiga daerah Pahang beroperasi esok

Iklan
Semua sekolah di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan serta di Kuantan, Rompin dan Bentong, Pahang beroperasi seperti biasa esok. Gambar hiasan

Semua institusi pendidikan di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan serta di Kuantan, Rompin dan Bentong, Pahang beroperasi seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka memaklumkan murid hadir digalakkan memakai pelitup muka, manakala ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Iklan
Iklan

"Pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi," menurut kenyataan itu.

DI SELANGOR, JPN negeri itu turut memaklumkan sekolah beroperasi seperti biasa, namun aktiviti luar ditangguhkan dengan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.

Iklan

JPN Selangor turut menasihatI orang ramai supaya merujuk saluran rasmi atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini, selain mengingatkan pentadbir sekolah supaya memantau bacaan IPU serta memberi perhatian kepada murid berisiko tinggi.

DI NEGERI SEMBILAN, JPNnya memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri itu turut akan beroperasi seperti biasa, esok.

Iklan

"Murid-murid disarankan memakai pelitup muka, khususnya mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Sementara itu, di PAHANG, JPN menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sekolah di Kuantan, Rompin dan Bentong beroperasi esok, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.

"Bagi daerah lain sekolah beroperasi seperti biasa. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing," menurut hantaran itu.

Dalam perkembangan berkaitan, KPM mengumumkan pelanjutan tempoh pengisian markah bagi beberapa pentaksiran persekolahan dalam Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS) susulan gangguan sesi persekolahan dan pelaksanaan pentaksiran akibat jerebu di beberapa kawasan.

Tarikh akhir pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Peperiksaan Akhir Sesi Akademik (PAT/PASA) dilanjutkan selama seminggu, daripada 21 November kepada 28 November ini, manakala pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilanjutkan daripada 30 November kepada 5 Disember ini. - Bernama