Drone dalam pembelajaran kewartawanan penyiaran

Iklan
Walaupun penggunaan drone memberikan banyak manfaat dalam pembelajaran, aspek etika dan keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada latihan. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Miharaini

Penggunaan drone dalam pembelajaran kewartawanan penyiaran semakin relevan dengan keperluan industri media hari ini. Pelajar bukan lagi hanya perlu memahami penulisan berita, pengendalian kamera, temu bual dan penyuntingan video, tetapi juga perlu didedahkan kepada teknologi yang digunakan dalam proses penghasilan kandungan berita.

Dalam konteks pendidikan, drone boleh menjadi salah satu alat pembelajaran yang membantu pelajar memahami proses penerbitan berita secara lebih menyeluruh. Pendedahan ini penting kerana persekitaran media kini memerlukan wartawan yang mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai teknologi dan menghasilkan kandungan untuk lebih daripada satu platform.

Iklan
Iklan

Penggunaan drone dalam kelas juga bukan sekadar mengajar pelajar bagaimana menerbangkannya. Apa yang lebih penting ialah bagaimana pelajar memahami fungsi rakaman udara dalam menghasilkan berita, memilih visual yang mempunyai nilai maklumat dan menggabungkannya dengan elemen kewartawanan yang lain.

Pembelajaran kewartawanan lebih praktikal

Iklan

Kewartawanan penyiaran merupakan bidang yang memerlukan keseimbangan antara pengetahuan dan kemahiran praktikal. Pelajar perlu memahami teori kewartawanan, tetapi pada masa yang sama perlu diberikan peluang menghasilkan berita dalam situasi yang hampir menyerupai persekitaran sebenar industri.

Penggunaan drone boleh membantu mewujudkan pengalaman pembelajaran tersebut.

Iklan

Sebagai contoh, dalam tugasan penghasilan pakej berita, pelajar boleh bermula dengan mengenal pasti topik, menulis skrip, merancang visual, menjalankan temu bual dan membuat rakaman di lokasi. Rakaman drone kemudian digunakan untuk memberikan gambaran keseluruhan lokasi atau memperkukuh konteks berita.

Pelajar seterusnya perlu menentukan bahagian rakaman udara yang sesuai digunakan bersama voice-over, sound on tape (SOT), stand-up wartawan dan visual kamera di darat.

Melalui latihan seperti ini, pelajar memahami bahawa rakaman drone bukan sekadar visual tambahan. Setiap shot perlu mempunyai fungsi dan membantu menyampaikan maklumat kepada penonton.

Kaedah pembelajaran berasaskan praktikal juga membolehkan pelajar belajar melalui proses merancang, menghasilkan dan menilai sendiri kandungan yang mereka hasilkan.

Membina kemahiran wartawan multimedia

Keperluan terhadap kemahiran wartawan turut berubah. Dalam persekitaran media digital, seorang wartawan mungkin perlu menulis berita, merakam video, menghasilkan kandungan media sosial, melakukan penyuntingan asas dan membuat laporan dari lokasi.

Pendedahan kepada drone boleh menambah satu lagi dimensi dalam latihan wartawan multimedia.

Pelajar boleh mempelajari asas komposisi visual udara, pergerakan kamera, pemilihan sudut rakaman dan perancangan visual. Pada masa yang sama, mereka belajar menghubungkan aspek teknikal tersebut dengan prinsip penceritaan berita.

Sebagai contoh, rakaman udara bagi laporan mengenai kesesakan lalu lintas perlu memberikan maklumat tentang keadaan sebenar laluan. Bagi laporan mengenai alam sekitar pula, visual udara boleh membantu menunjukkan keluasan atau perubahan sesuatu kawasan.

Ini bermakna pelajar perlu berfikir sebagai wartawan terlebih dahulu sebelum berfikir sebagai pengendali teknologi.

Kemahiran seperti ini penting kerana teknologi akan terus berubah. Apa yang perlu dibentuk melalui pendidikan bukan sekadar kebolehan menggunakan satu peralatan tertentu, tetapi keupayaan untuk mempelajari teknologi baharu dan menggunakannya mengikut keperluan kewartawanan.

Teknologi perlu bergerak seiring dengan etika

Walaupun penggunaan drone memberikan banyak manfaat dalam pembelajaran, aspek etika dan keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada latihan.

Pelajar perlu memahami bahawa tidak semua lokasi sesuai untuk diterbangkan drone dan tidak semua perkara yang boleh dirakam wajar digunakan sebagai kandungan berita. Privasi individu, keselamatan orang awam, sensitiviti mangsa serta pematuhan kepada peraturan perlu diberikan perhatian.

Pendidikan kewartawanan mempunyai kelebihan kerana nilai ini boleh diterapkan sejak peringkat latihan. Sebelum pelajar menggunakan drone, mereka boleh dilatih membuat penilaian terhadap lokasi, tujuan rakaman dan nilai berita visual yang ingin diperoleh.

Mereka juga perlu memahami bahawa mendapatkan visual yang menarik tidak boleh mengatasi keselamatan atau tanggungjawab sebagai wartawan.

Dalam era hari ini, pembelajaran kewartawanan penyiaran perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi dalam industri. Pendedahan kepada drone merupakan salah satu cara untuk membantu pelajar memahami bagaimana teknologi boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti penceritaan berita.

Namun, matlamat akhirnya bukan untuk menghasilkan wartawan yang sekadar mahir menggunakan drone.

Institusi pendidikan perlu melahirkan wartawan yang mampu menggabungkan kemahiran kewartawanan, kreativiti, teknologi dan pertimbangan etika dalam menghasilkan kandungan.

Apabila pelajar diberikan peluang menggunakan teknologi dalam proses pembelajaran, mereka bukan sahaja belajar mengendalikan peralatan, tetapi turut belajar membuat keputusan mengenai bila, mengapa dan bagaimana teknologi tersebut patut digunakan.

Pendedahan seperti inilah yang dapat membantu mempersiapkan graduan kewartawanan penyiaran menghadapi persekitaran media yang semakin digital dan memerlukan kemahiran yang lebih pelbagai.

Maklumat penulis:

Pensyarah Komunikasi Digital, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, Dr Miharaini Md Ghani

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my