Yayasan Eco World menyumbangkan sebanyak 200 set meja dan kerusi murid bernilai RM40,000 kepada dua sekolah bagi menggantikan perabot yang telah usang.
Daripada jumlah itu, sebanyak 130 set disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Salak South manakala 70 set lagi kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Semenyih, Selangor.
Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, yayasan itu amat percaya bahawa pendidikan merupakan pelaburan untuk masa depan negara.
"Pendidikan yang sempurna berupaya mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik. Inilah sebab utama kami memberikan tumpuan kepada usaha menyediakan bantuan pendidikan kepada sekolah yang memerlukan bantuan kami," katanya pada majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di SJKT Ladang Semenyih.
Beliau berkata, meja dan kerusi baharu itu telah dihantar ke sekolah berkenaan pada Ogos.
Lee berkata, yayasan itu turut melaksanakan pemeriksaan kualiti bagi memastikan meja dan kerusi berkenaan mampu bertahan lama.
Sejak penubuhannya, yayasan itu telah membelanjakan RM1 juta untuk menggantikan perabot sekolah, termasuk meja dan bangku kantin, selain menyediakan kemudahan lain.
Program utama Yayasan Eco World ialah Program Bantuan Pelajar (SAP), yang menyediakan bantuan kewangan kepada murid dan pelajar sekolah menengah daripada keluarga kurang berkemampuan, dengan matlamat memastikan kanak-kanak daripada semua kaum dapat meneruskan persekolahan.
Ketika ini, yayasan itu membantu 2,000 murid dan pelajar dari Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan Johor.
Dengan peruntukan RM4 juta setahun, SAP memenuhi pelbagai keperluan pendidikan murid sekolah rendah termasuk menyediakan kelengkapan persekolahan, makanan serta membayar yuran sekolah dan tuisyen.
Yayasan itu turut membantu rakyat daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi lawatan ke rumah, lawatan sambil belajar, sesi dialog bersama ibu bapa dan khidmat bimbingan kerjaya. - Bernama