SPM bukan sekadar memburu 'A'

Iklan
Menghadapi SPM bukan sekadar mengetahui jawapan, tetapi calon juga perlu tahu cara menjawab dengan tepat dalam masa yang ditetapkan. Gambar kecil: Dari atas Jaafar dan Nurulhuda

Persediaan akademik seiring kestabilan emosi, pengurusan masa dan keyakinan diri calon

Buku sudah dibuka, nota pula dibaca berulang kali dan latihan demi latihan dibuat dengan rancak.

Ada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membuat persediaan sejak awal, manakala sebahagian lagi memperkemas ulang kaji apabila peperiksaan bertulis semakin hampir.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, dalam kesibukan mengejar topik, menghafal fakta dan menyelesaikan pelbagai bentuk soalan latihan, ada beberapa perkara penting yang sering terlepas pandang.

Penceramah bebas, Jaafar Ab Rahman berkata, memahami kata tugas bagi soalan, mengurus masa ketika menjawab dan menyemak semula kesilapan nampak seperti perkara kecil tetapi kesannya boleh mempengaruhi prestasi calon di dewan peperiksaan.

Iklan

Katanya, pada masa sama, persediaan tidak sepatutnya tertumpu kepada buku dan nota.

"Rehat perlu mencukupi, emosi stabil dan persediaan awal terhadap keperluan peperiksaan juga perlu diberi perhatian.

Iklan

"Hakikatnya, menghadapi SPM bukan sekadar mengetahui jawapan, tetapi calon juga perlu tahu cara menjawab dengan tepat dalam masa yang ditetapkan," katanya yang juga merupakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, Selangor.  

Masih diburu kebimbangan

Baki masa hanya tinggal sebulan sebelum peperiksaan bertulis SPM, namun bagi sesetengah calon, persediaan yang rapi belum tentu mampu menghalang rasa bimbang daripada menguasai fikiran.

Menurut Jaafar, beliau turut berkongsi pengalaman membimbing seorang calon yang konsisten membuat persediaan dan menunjukkan pencapaian baik dalam ujian percubaan serta peperiksaan sebelumnya.

"Tetapi, apabila SPM semakin hampir, perubahan emosi dan tingkah laku pelajar ini mula dapat dilihat.

"Hasil penerokaan menerusi sesi kaunseling mendapati masalah utama pelajar ini ialah kecenderungan untuk terlalu memikirkan pelbagai kemungkinan atau overthinking," katanya lagi.

Oleh yang demikian, Jaafar membantu melakukan teknik pernafasan ketika berasa tertekan dan mendapatkan rehat yang mencukupi.

"Selepas tiga sesi kaunseling, perubahan positif mula kelihatan. Jadi pengalaman ini membuktikan bahawa persediaan menghadapi SPM bukan sekadar menguasai pelajaran, tetapi memastikan emosi dan fikiran berada dalam keadaan sedia," ujarnya.

Bukan tahap paksaan

Di sebalik helaian nota yang dibaca dan latihan soalan yang disiapkan, ada satu perkara yang mungkin tidak terlihat oleh orang sekeliling iaitu kebimbangan yang dipendam calon SPM.

Bagi sesetengah murid, peperiksaan bukan sekadar perjuangan mendapatkan keputusan cemerlang, tetapi menjadi medan menguji keyakinan diri, emosi dan kekuatan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Ketakutan untuk gagal, tidak mencapai sasaran atau mengecewakan harapan ibu bapa dan guru boleh menjadi beban tersendiri, lebih-lebih lagi apabila setiap calon mempunyai latar belakang dan cabaran hidup yang berbeza.

Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Selangor, Nurulhuda Ramli berkata, tekanan menjelang peperiksaan besar ini tidak semestinya ditunjukkan melalui tangisan atau keluhan.

Menurutnya, ada calon yang mula menjadi pendiam, mudah tersinggung, cepat marah, sukar memberikan tumpuan atau hilang motivasi.

"Keadaan ini boleh dipengaruhi keletihan, tekanan pencapaian, harapan keluarga, konflik persahabatan mahupun masalah peribadi.

"Perubahan tingkah laku murid tidak seharusnya terus dianggap sebagai sikap malas atau tidak berdisiplin. Kadangkala, pertanyaan ringkas seperti 'awak okay?' sudah cukup membuka ruang untuk mereka berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan tanpa rasa dihakimi," katanya.

Tambah Nurulhuda, tidak semua calon berdepan cabaran yang berpunca daripada pelajaran.

"Ada juga yang terpaksa menguruskan konflik emosi dan perubahan dalam kehidupan keluarga sehingga menjejaskan keyakinan diri mahupun tumpuan mereka.

"Saya juga pernah mengalami pengalaman membimbing calon pendiam dan hanya memberikan respon apabila ditanya.

"Tetapi, menerusi sesi kaunseling secara berterusan, murid ini mula menunjukkan perubahan apabila semakin terbuka berkongsi perasaan.

"Walaupun masalahnya belum diselesaikan, kesediaan untuk bersuara menjadi satu perkembangan positif. Situasi ini membuktikan bahawa sokongan emosi dan ruang untuk didengari juga penting dalam persediaan menghadapi SPM," katanya.