Karnival PIBKS 2026 buka peluang teroka dunia pendidikan digital

Iklan
Bertemakan 'Sinergi Digital Memperkasakan Pendidikan MADANI', penganjuran ini selari dengan aspirasi RPM 2026-2035, khususnya dalam memperluas penglibatan pihak berkepentingan, menggalakkan inovasi dan meningkatkan kompetensi digital dalam ekosistem pendidikan.

Dunia pendidikan digital bukan lagi tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama erat ibu bapa, komuniti serta sektor swasta dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang lebih progresif.

Seiring dengan perkembangan itu, Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bakal menjadi platform untuk menghimpunkan pelbagai pihak bagi meneroka peluang, berkongsi kepakaran dan memperkukuh penggunaan teknologi dalam pendidikan.

Iklan
Iklan

Berlangsung pada 15 November ini, dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang di Klang Parade Mall, Klang, Selangor, karnival anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu dijangka menawarkan pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung.

Bertemakan 'Sinergi Digital Memperkasakan Pendidikan MADANI', penganjuran ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, khususnya dalam memperluas penglibatan pihak berkepentingan, menggalakkan inovasi dan meningkatkan kompetensi digital dalam ekosistem pendidikan.

Iklan

Majlis perasmian dijadualkan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

30 reruai pameran, himpun pelbagai inovasi

Iklan

Antara tarikan utama karnival ialah penyediaan 30 reruai pameran yang menghimpunkan penyertaan daripada jabatan pendidikan, agensi kerajaan, rakan strategik serta bahagian KPM.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16 reruai disediakan oleh JPN dan Jabatan Pendidikan Wilayah (JPW) seluruh Malaysia, manakala 10 reruai melibatkan rakan strategik dan empat lagi daripada bahagian KPM.

Antara organisasi dan agensi yang mengambil bahagian termasuk Walnut Robotics, PANDAI, Bank Simpanan Nasional (BSN), PIBKS Negeri Selangor, KoopPIBG, CPro, Google Malaysia, IPS serta wakil JPN Selangor menerusi inisiatif WORobotics.

Kepelbagaian penyertaan ini membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat inovasi, teknologi dan inisiatif pendidikan digital yang boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pada masa sama, kerjasama antara sektor awam dan swasta turut memperlihatkan kepentingan perkongsian kepakaran serta sumber dalam memperluas akses kepada pendidikan digital.

Aktiviti interaktif, perkongsian bersama pakar

Karnival ini turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan pengalaman dan pengetahuan secara langsung.

Antara pengisian yang disediakan termasuk Jom Terjah Reruai, Aktiviti Interaktif Pengunjung, Sembang Kopi Digital, Bicara Cakna Digital serta Ruang Pameran Pendidikan Digital.

Menariknya, segmen Bicara Cakna Digital akan menampilkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Azam Ahmad, yang tampil berkongsi pandangan berkaitan pendidikan digital.

Sesi Sembang Kopi Digital pula melibatkan wakil agensi, pakar dan pengamal dalam bidang pendidikan serta teknologi digital bagi membincangkan perkembangan, cabaran dan peluang dalam landskap pendidikan masa kini.

Pengunjung juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan agensi pendidikan, rakan strategik dan penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan maklumat berkaitan produk, perkhidmatan serta pelbagai inisiatif pendidikan digital.

PIBKS pemangkin transformasi pendidikan

Dalam usaha membina ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh, peranan ibu bapa dan penjaga, komuniti setempat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak boleh diketepikan.

Sebaliknya, setiap pihak mempunyai peranan tersendiri dalam menyokong perkembangan murid, menyediakan peluang pembelajaran dan memperluas akses kepada kemudahan serta teknologi pendidikan.

Justeru, penganjuran karnival ini menjadi antara usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat, sekali gus menggalakkan penglibatan yang lebih aktif dalam agenda transformasi pendidikan negara.

Melalui perkongsian amalan terbaik dan pembudayaan inovasi digital, karnival ini diharap dapat mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, progresif serta responsif terhadap perubahan teknologi.

Orang ramai khususnya ibu bapa, guru, warga pendidikan dan komuniti setempat dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai pengisian yang disediakan.