Jarak yang jauh tidak wajar dijadikan alasan untuk guru di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman dan pulau, ketinggalan dalam perkembangan teknologi serta peluang meningkatkan kemahiran digital.
Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Doria Tai Yun Tyng berkata, perbezaan geografi antara kawasan bandar, luar bandar, pedalaman dan pulau tidak seharusnya mengehadkan akses pendidik kepada perkongsian ilmu serta pembangunan kompetensi.
“Perbezaan geografi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perkongsian ilmu, pembangunan kompetensi dan akses kepada peluang pembelajaran,” katanya ketika merasmikan Gala Google Educator Groups (GEG) Summit Sabah 2026 di sini.
Menurutnya, komuniti pendidik seperti GEG memainkan peranan penting sebagai rakan strategik KPSTI dalam memperluas budaya pembelajaran digital, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan warga pendidikan Sabah menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Tambah beliau, cabaran pendidikan masa kini bukan lagi tertumpu kepada persoalan sama ada AI akan menjadi sebahagian daripada pendidikan, sebaliknya sejauh mana teknologi itu dapat dimanfaatkan secara bijak, kritikal dan bertanggungjawab.
"Guru perlu mempunyai keyakinan untuk menggunakan teknologi sebagai alat memperkaya pembelajaran.
"Pada masa yang sama, murid perlu dibimbing bukan sekadar untuk menggunakan teknologi, tetapi untuk berfikir, menilai maklumat, mencipta dan membuat keputusan dengan bertanggungjawab," katanya.
Doria turut menegaskan bahawa kejayaan transformasi digital tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah platform teknologi yang digunakan atau sijil diperoleh, sebaliknya perubahan sebenar yang berlaku dalam kalangan guru, sekolah dan murid.
"Transformasi sebenar bukan berlaku di atas pentas. Transformasi sebenar berlaku di sekolah dan di dalam bilik darjah," katanya.
Sementara itu, GEG Summit Sabah 2026 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya pada 7 November lalu berjaya menghimpunkan seramai 550 peserta daripada 650 pendaftaran melibatkan enam negeri dan wilayah.
Peserta terdiri daripada mahasiswa, pelajar, guru, pensyarah dan penggiat teknologi pendidikan (EdTech) dari Sabah, Kelantan, Melaka, Sarawak, Selangor dan Putrajaya.
Sepanjang program itu, peserta mengikuti tujuh sesi perkongsian termasuk kepimpinan pendidikan, penggunaan teknologi oleh guru dan pentadbir serta forum The Big GEG Conversation.
Sebanyak 11 reruai turut disediakan bagi memberi pendedahan mengenai penggunaan AI, analitik data, penghasilan kandungan kreatif dan pensijilan Google.
Dalam pada itu, Leader GEG Sabah, Ts Mohd Idremzizan Idris berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan kesediaan pendidik di negeri ini untuk terus meningkatkan kemahiran dan berkongsi pengetahuan tanpa mengira lokasi.
“Summit ini membuktikan pendidik Sabah bersedia belajar dan berkongsi tanpa mengira daerah. GEG Sabah akan terus memperluas jaringan ini supaya lebih ramai guru dan sekolah mendapat manfaat," katanya.
Pada majlis gala berkenaan, sebanyak 29 anugerah penghargaan dalam enam kategori disampaikan kepada pendidik dan pemimpin GEG, selain enam penghargaan kepada rakan kerjasama.
Majlis itu turut dihadiri lebih 200 tetamu dari 15 daerah di Sabah, termasuk lebih 30 guru besar dan pengetua, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah serta wakil Google for Education dan Brunei.