Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jerteh, Terengganu muncul juara kategori masing-masing dalam Pertandingan Akhir Tari Tali Yakult Peringkat Kebangsaan, Program Yakult Generasi MADANI 2026, baru-baru ini.
Kedua-dua sekolah itu membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi dan sijil selepas berjaya menewaskan peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya.
Program anjuran Yakult Malaysia dengan kerjasama KPM itu diperkenalkan sejak tahun 2022 bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan melalui pendidikan pemakanan dan aktiviti fizikal murid.
Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroki Yanase berkata, penganjuran tahun ini melibatkan 80 sekolah rendah dan menengah dengan penyertaan lebih 90,000 murid serta guru.
Menurutnya, pelbagai pengisian disediakan termasuk ceramah pemakanan, pembelajaran dalam talian, pameran poster pendidikan dan cabaran Yakult Dance Rope bagi menjadikan pembelajaran berkaitan kesihatan lebih menarik.
"Kami percaya tabiat hidup sihat bermula sejak usia muda. Melalui program ini, kami berharap menjadikan pendidikan kesihatan lebih menarik serta menggalakkan murid menjaga kesihatan.
"Pihak Yakult menghargai sokongan berterusan KPM dan berharap dapat memperluas program ini ke lebih banyak sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Yakult Generasi MADANI 2026 - Yakult Dance Rope & Yakult Health Mission, baru-baru ini.
Majlis dihadiri Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM, Ithnin Mahadi yang menyempurnakan acara penutupan.
Dalam pada itu, SK Bachang, Melaka meraih anugerah Penari Lelaki Terbaik bagi kategori sekolah rendah, manakala Penari Perempuan Terbaik dimenangi SK Pusat Jerteh.
Bagi kategori sekolah menengah pula, SMK Matang Jaya membawa pulang anugerah Penari Lelaki Terbaik, sementara Penari Perempuan Terbaik menjadi milik SMK Datuk Haji Abdul Samad, Negeri Sembilan.
Setiap pemenang kategori individu menerima wang tunai RM300 berserta trofi dan sijil.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memberi peluang murid menyerlahkan bakat dan kreativiti dalam aktiviti fizikal, malah memupuk kesedaran akan kepentingan gaya hidup sihat sejak bangku sekolah.
Pendekatan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan juga diharap dapat menjadikan amalan menjaga kesihatan sebagai sebahagian rutin harian murid, sekali gus melahirkan generasi lebih sihat dan cergas.
SENARAI PEMENANG TARI TALI YAKULT 2026
KATEGORI SEKOLAH RENDAH:
- Johan - SK Pusat Jerteh
- Naib Johan - SK Bachang
- Tempat Ketiga - SK Seri Saujana, Johor
- Tempat Keempat - SK Putrajaya Presint 17 (1), Wilayah Persekutuan Putrajaya
- Tempat Kelima - SK Pedas, Negeri Sembilan
KATEGORI SEKOLAH MENENGAH:
- Johan - SMK Matang Jaya
- Naib Johan - SMK Datuk Haji Abdul Samad
- Tempat Ketiga -SMK Taman Seri Saujana, Johor
- Tempat Keempat - SMK Ulu Kinta, Perak
- Tempat Kelima - SMK Abu Bakar, Pahang
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terbaik - JPN Perak
HADIAH KESELURUHAN MISI SIHAT YAKULT
KATEGORI SEKOLAH RENDAH:
- Johan - SK Putrajaya Presint 17(1)
- Naib Johan - SK Pusat Jerteh
- Tempat Ketiga - SK Sungai Karang, Pahang
- Tempat Keempat - SK Tanah Hitam, Perak
- Tempat Kelima - SK Abdul Samad, Selangor
KATEGORI SEKOLAH MENENGAH:
- Johan - SMK Padang Midin, Terengganu
- Naib Johan - SMK Ulu Kinta, Perak
- Tempat Ketiga - SMK Tunku Ampuan Durah, Negeri Sembilan
- Tempat Keempat - SMK Kuala Krau, Pahang
- Tempat Kelima - SMK Matang Jaya Hadiah
KATEGORI MISI SIHAT YAKULT KEMPEN KESEDARAN DI SEKOLAH TERBAIK - SK Pusat Jerteh dan SMK Padang Midin
KEMPEN KESEDARAN ATAS TALIAN TERBAIK - SK Pusat Jerteh dan SMK Tunku Ampuan Durah
KUIZ TERBAIK - SK Desa Pahlawan, Kelantan dan SMK Tunku Ampuan Durah