T-Yam Mua'llim rangkul pelbagai anugerah, harumkan nama guru KAFAI Surau Taman Bayu di pentas antarabangsa!

Iklan
Dari kiri Nursyazana Amira, Siti Zaiton dan Izzatul Najehah berharap agar inovasi ini dapat dimanfaatkan lebih ramai murid serta diperluaskan penggunaannya bagi membantu meningkatkan pemahaman dalam pembelajaran Feqah.

Inovasi BBM digital berasaskan gamifikasi dwibahasa bantu murid sekolah aliran Cina menguasai pembelajaran Feqah

Bermula daripada usaha menangani cabaran pembelajaran murid di dalam bilik darjah, inovasi T-Yam Mua'llim hasil kreativiti dua guru KAFAI Surau Taman Bayu, Kuala Selangor, Selangor berjaya mencipta kejayaan apabila meraih tiga pengiktirafan dalam Pertandingan Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan JAIS 2026 Peringkat Daerah Kuala Selangor baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut merangkumi Anugerah Emas Kategori Bahan Bantu Mengajar (BBM), Persembahan Terbaik dan Pembentang Terbaik.

Iklan
Iklan

Kemudian, kecemerlangan itu diteruskan pula di pentas antarabangsa apabila inovasi tersebut turut meraih Pingat Perak dalam International Innovation and Entrepreneurship Expo (INEX) 2026.

Menurut kenyataan kepada Sinar Bestari, inovasi yang dibangunkan Izzatul Najehah Mohd Khairi dan Nursyazana Amira Misnani itu tercetus daripada masalah sebenar pembelajaran 11 murid Tahun 3 Jannah yang menghadapi kesukaran mengenal pasti dan membezakan rukun dengan syarat sah tayamum.

Iklan

Isu utama yang dikenal pasti ialah penguasaan Bahasa Melayu yang terhad dalam kalangan murid berlatarbelakangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekali gus menyukarkan mereka memahami istilah dan kandungan Feqah yang disampaikan.

"Bagi menangani cabaran tersebut, T-Yam Mua'llim dibangunkan sebagai BBM digital berasaskan gamifikasi dengan pendekatan dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Jawi, bagi membantu murid memahami konsep tayamum melalui kaedah yang lebih visual, interaktif dan menyeronokkan.

Iklan

"Aplikasi ini menggabungkan video, audio, ilustrasi, tutorial tayamum serta tujuh permainan pendidikan, merangkumi empat permainan versi Bahasa Melayu/Jawi dan tiga permainan versi Bahasa Inggeris.

"Pendekatan ini memberi peluang kepada murid memahami kandungan mengikut keupayaan bahasa masing-masing sambil mengukuhkan penguasaan istilah Pendidikan Islam," kata mereka. 

Ketua Guru KAFAI Surau Taman Bayu, Ustazah Siti Zaiton Mohamed Said menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti kesungguhan guru mencipta penyelesaian kreatif terhadap keperluan pembelajaran murid.

Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Ustaz Mohd Fazli Mohammad Royani pula menegaskan bahawa inovasi pendidikan perlu berasaskan masalah sebenar dan berupaya memberi nilai tambah kepada kualiti pengajaran.

Manakala Pegawai Unit Pengurusan PAID Kuala Selangor, Ustaz Rosidi Hussain turut menekankan kepentingan kajian tindakan yang sistematik dalam memastikan inovasi dibangunkan melalui proses mengenal pasti masalah, melaksanakan intervensi dan menilai keberkesanannya.

Sementara itu, Pembimbing utama pasukan, Ustazah Munera Hashim menjelaskan bahawa kekuatan T-Yam Mua'llim terletak pada keupayaan guru menyesuaikan BBM dengan latar belakang bahasa dan tahap penguasaan murid.

"Inovasi yang bermakna bukan sekadar menghasilkan aplikasi yang menarik, tetapi membina penyelesaian yang benar-benar memenuhi keperluan murid.

"T-Yam Mua'llim membuktikan bahawa perbezaan penguasaan bahasa boleh ditangani melalui kreativiti, teknologi dan gamifikasi dalam Pendidikan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Jurulatih Utama Negeri, Ustaz Mohd Izzuwan Mahyudin melihat inovasi tersebut berpotensi diperluaskan sebagai BBM digital yang lebih inklusif, khususnya bagi murid yang mempunyai kepelbagaian latar belakang bahasa.

Katanya, kejayaan T-Yam Mua’llim di peringkat daerah dan antarabangsa membuktikan bahawa guru Pendidikan Islam bukan sekadar penyampai ilmu, malah pencipta inovasi yang mampu merapatkan jurang bahasa dan meningkatkan akses murid kepada pembelajaran bermakna.

"Daripada cabaran bahasa tercetus inovasi, daripada gamifikasi terhasil kefahaman dan daripada bilik darjah tercipta kejayaan antarabangsa," ujarnya.