Program Konvoi Mahabbah KGMMB Cawangan Johor erat silaturahim para guru

Iklan
Ahli-ahli KGMMB Cawangan Johor merakamkan kenangan bersama sempena Program Konvoi Mahabbah KGMMB Cawangan Johor 2026 baru-baru ini.

Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik penganjuran Program Konvoi Mahabbah KGMMB Cawangan Johor 2026 yang berjaya menghimpunkan 60 buah motosikal pelbagai jenis serta hampir 100 guru dalam suasana santai, mesra dan penuh ukhuwah.

Presiden KGMMB, Dr Mohd Sobri Yusuf berkata, konvoi yang bermula dari Pejabat KGMMB Cawangan Johor di Batu Pahat menuju ke Taman Negara Tanjung Piai, yang terkenal sebagai titik paling selatan tanah besar Asia, bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara guru lama dengan guru baharu.

Iklan
Iklan

"KGMMB berpandangan bahawa program seumpama ini mempunyai nilai yang besar dalam membantu mengurangkan tekanan kerja dalam kalangan guru, khususnya ketika warga pendidik berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab dan tugasan di sekolah.

"Aktiviti santai yang berasaskan minat bersama dapat memberikan ruang kepada guru untuk berehat, berinteraksi dan membina jaringan sokongan sesama rakan sejawat," katanya.

Iklan

Mohd Sobri (tengah) memasang pelekat sebagai gimik perasmian program konvoi.

Mohd Sobri berkata, pendekatan tersebut juga merupakan antara usaha proaktif KGMMB dalam menyokong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencari inisiatif yang bersesuaian bagi menangani isu kesejahteraan guru.

Iklan

Katanya lagi, KGMMB percaya bahawa kebajikan dan kesejahteraan emosi guru perlu diberikan perhatian serius kerana guru yang sejahtera akan lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan berkesan.

"Sehubungan itu, KGMMB menggalakkan penganjuran konvoi secara santai dan aktiviti riadah yang bersesuaian, khususnya bagi memenuhi minat ahli dalam dunia permotoran.

"Aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat menyuburkan semangat kekitaan, malah mewujudkan ruang interaksi yang lebih terbuka antara generasi guru," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak KGMMB turut bercadang memperluas penganjuran program seumpama ini ke setiap cawangan di Semenanjung Malaysia.

Tambahnya lagi, pendekatan berasaskan minat ahli diyakini mampu meningkatkan penyertaan, mengukuhkan perpaduan dan menjadikan kesatuan lebih dekat dengan kehidupan serta keperluan guru.

"Selain program konvoi, KGMMB juga akan merangka pelbagai aktiviti bermanfaat untuk ahli, termasuk karnival sukan, karnival akademik dan program riadah.

"Usaha ini mencerminkan komitmen KGMMB untuk terus memperjuangkan kebajikan ahli bukan sahaja dari aspek perkhidmatan, malah turut merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi dan hubungan sosial," katanya.