Kreativiti bina prompt, guru Bahasa Melayu raih gelaran johan Cikgu Copilot Challenge

Iklan
Kreativiti Cikgu Ahmad Afandi membina prompt membawa tuah apabila beliau berjaya menjuarai Cikgu Copilot Challenge dan membawa pulang Microsoft Surface bernilai lebih RM5,000.

Keupayaan menguasai bahasa bukan sahaja membantu seseorang berkomunikasi dengan baik, malah menjadi kelebihan dalam meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI).

Itulah kekuatan yang dibuktikan guru Bahasa Melayu, Cikgu Ahmad Afandi Yusri apabila dinobatkan sebagai johan Cikgu Copilot Challenge peringkat kebangsaan sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa sebuah Microsoft Surface bernilai lebih RM5,000.

Iklan
Iklan

Kejayaan membanggakan itu diraih menerusi #CikguCopilot Webinars: Artefact Challenge yang turut dikenali sebagai Cikgu Copilot Challenge bagi Cabaran Artefak.

Pendidik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau, Pulau Pinang itu menerima pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Majlis Apresiasi Murid Fasih Digital (AMFD) 2026 di World Trade Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Iklan

Bagi Cikgu Ahmad Afandi, kemenangan tersebut bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya menjadi pengalaman bermakna dalam perjalanan meneroka potensi AI untuk memperkaya kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, kemahiran menguasai bahasa mempunyai kaitan rapat dengan keupayaan menghasilkan arahan yang tepat ketika berinteraksi dengan teknologi AI.

Iklan

"Sebagai guru Bahasa Melayu, saya melihat kemahiran menyusun arahan, menjelaskan maksud dan menetapkan tujuan sebagai satu kekuatan. Semua itu sangat dekat dengan pembinaan prompt," katanya dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, baru-baru ini. 

Bahasa menjadi kekuatan membina prompt

Prompt ialah arahan yang diberikan kepada AI bagi menghasilkan sesuatu respons atau bahan mengikut keperluan pengguna.

Dalam bidang pendidikan, pembinaan prompt yang baik memerlukan guru memahami objektif pembelajaran, tahap penguasaan murid serta bentuk bahan yang ingin dihasilkan.

Menurut Cikgu Ahmad Afandi, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberikan perhatian ketika membina prompt iaitu konteks, matlamat dan jangkaan hasil.

Katanya, ketiga-tiga elemen tersebut membantu guru menyampaikan keperluan pengajaran dengan lebih jelas, teratur dan bersesuaian dengan sasaran pembelajaran.

"Konteks menerangkan latar pembelajaran seperti mata pelajaran dan tahap murid.

"Matlamat menetapkan perkara yang mahu dicapai, manakala jangkaan memperincikan bentuk bahan, susunan aktiviti dan cara jawapan dipersembahkan.

"Sebagai contoh, arahan untuk menyediakan aktiviti bahasa boleh diperincikan dengan menyatakan topik, tahun persekolahan, tempoh aktiviti dan jenis maklum balas yang diperlukan murid," katanya.

Tambah beliau, guru perlu terlebih dahulu memahami perkara yang ingin dikuasai murid sebelum meminta AI menghasilkan bahan pembelajaran.

Bahkan, ujar beliau, hasil yang diperoleh juga tidak boleh diterima bulat-bulat, sebaliknya perlu dibaca, disemak dan disesuaikan dengan keperluan kelas masing-masing.

"Ketepatan bahasa dan kesesuaian kandungan amat penting, lebih-lebih lagi apabila bahan berkenaan digunakan oleh murid sekolah rendah.

"Malah, pengaplikasian teori pembelajaran juga amat penting untuk diselarikan dengan rancangan pengajaran harian," jelasnya. 

Gabungkan bahasa, permainan dan teknologi AI

Minat Cikgu Ahmad Afandi terhadap teknologi turut berkembang seiring kepakarannya dalam pengajaran Bahasa Melayu menerusi pendekatan permainan dan penerapan kearifan tempatan.

Beliau sebelum ini turut menghasilkan pelbagai inovasi antaranya Kit Kia G-Nosis bagi pengajaran kata majmuk kiasan menerusi kajian di peringkat kedoktoran serta Inovasi Kata Majmuk (INOMAJ).

Kini, perkembangan pesat teknologi AI menjadi dorongan baharu buat beliau untuk menghasilkan bahan pengajaran menerusi templat REKA.BM.

Templat tersebut membimbing murid meneroka reka bentuk permainan bagi aspek tatabahasa dengan bantuan AI.

Menerusi REKA.BM, prinsip konteks, matlamat dan jangkaan turut diterapkan dalam aktiviti membina arahan, menguji permainan serta mengenal pasti kelemahan untuk penambahbaikan.

Ketepatan bahasa juga menjadi elemen penting sepanjang proses penghasilan permainan berkenaan.

Sebagai contoh, bagi kata majmuk kiasan 'buah tangan' jawapan yang dihasilkan perlu merujuk kepada maksud cenderamata.

Murid bukan sahaja diminta memilih jawapan, malah dibimbing memberikan alasan terhadap pilihan tersebut dan meneliti penerangan yang dihasilkan AI.

Pendekatan itu membuka ruang kepada murid menggunakan pengetahuan bahasa untuk membuat keputusan, termasuk mengenal pasti serta membetulkan kesalahan sebelum sesuatu permainan digunakan.

"Saya mahu murid berani bertanya justifikasi bagi sesuatu jawapan itu sama ada betul atau salah. Apabila mereka boleh menjelaskan alasan dan membaiki kesalahan, kita dapat melihat proses pemikiran mereka," katanya.

Bagi beliau, penguasaan bahasa menjadi asas penting untuk membantu murid menyampaikan idea dengan jelas ketika berinteraksi dengan teknologi.

Justeru, pengetahuan tentang makna dan penggunaan kata perlu terus diperkukuh walaupun kaedah pembelajaran semakin berkembang dengan bantuan AI. 

Kejayaan dikongsi bersama insan tersayang

Di sebalik kejayaan meraih gelaran johan dan membawa pulang hadiah utama, Cikgu Ahmad Afandi tidak melupakan insan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai pendidik dan penghasil bahan pembelajaran.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada isteri tercinta, ibu, pembimbing, rakan seperjuangan serta seluruh warga SK Seri Relau yang sentiasa memberikan dorongan.

Ingatan terhadap arwah bapanya juga kekal menjadi sumber kekuatan dalam meneruskan usaha dan mengejar kejayaan.

"Kejayaan ini saya kongsikan dengan keluarga dan semua yang sentiasa menyokong. Doa isteri tercinta dan mak serta ingatan terhadap arwah abah, sangat bermakna buat saya," ujarnya.

Bagi Cikgu Ahmad Afandi, pengiktirafan yang diterima bukanlah noktah kepada usaha meneroka teknologi, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif dan bermakna.

Beliau berharap kejayaan itu dapat mendorong lebih ramai guru untuk berani mencuba, belajar dan meneroka penggunaan AI berdasarkan keperluan mata pelajaran masing-masing.

"Mulakan dengan satu keperluan yang dekat dengan kelas sendiri. Bina arahan yang jelas, semak hasilnya dan tambah baik. Pengalaman kecil itu boleh membuka ruang kepada idea yang lebih besar," katanya.