Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) ketika ini membuatkan ramai ibu bapa yang mengeluh kerana sukar untuk memastikan anak-anak mereka dapat mengikuti pelajaran dengan sempurna.
Malah mengikut tinjauan yang dilakukan oleh GPSBestari, rata-rata ibu bapa menzahirkan kebimbangan dan meminta agar sistem ini diperkemaskan lagi.
Namun menurut pendakwah bebas Syamsul Amri Ismail isu yang berlaku kini adalah disebabkan nilai adab yang ada dalam diri pelajar masa kini semakin mengurang, iaitu mereka kini dilihat semakin hilang rasa hormat kepada guru.
"Isunya adalah sama, iaitu tiada rasa hormat kepada guru. Ketika guru membuat kelas, ramai pelajar langsung tidak mahu menghadirinya.
"Bayangkan peratusan kehadiran pelajar kebanyakan sekolah-sekolah di bandar adalah kurang dari 30%, manakala bagi sekolah-sekolah di luar bandar, kehadiran mereka adalah tidak sampai 10%,” katanya dalam program Zoom In Bersama… yang diadakan pada pagi Ahad lalu.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, jika orang ramai bertanya kepada para guru akan pengalaman mereka ketika PdPR, pastinya yang akan didengari adalah rintihan akan bertapa susahnya proses mengajar secara dalam talian pada ketika ini.
"Apabila pelajar masuk kelas pula, mereka tidak buka kamera, dan pada waktu tersebut mereka buat benda lain seperti tidur atau bermain permainan video.
"Jika cikgu bertanya soalan, langsung tiada respon daripada para pelajar. Semua ini membuatkan cikgu-cikgu rasa menyampah nak mengajar.
"Semua ini akan membuatkan hilangnya keberkatan ilmu,” ujarnya.
Dalam menyelesaikan masalah ini, Syamsul menegaskan bahawa semua pihak perlu tahu peranan masing-masing bagi menjayakan sesi PdPR ini.
"Sebagai contoh, ketika awal pagi, ibu-ibu memainkan peranan mereka untuk menyiapkan sarapan, maka peranan anak-anak di sini adalah perlu terus makan, manakala peranan bapa pula perlu memastikan anak-anak bangun awal untuk bersarapan sebelum ‘masuk kelas’.
Baca juga: Jom belajar sejarah Jalur Gemilang
Baca juga: 10 punca pelajar gagal ikuti PdPR. Tak sangka, ini yang guru-guru senaraikan!
"Ini kerana, selalunya dalam kebanyakan rumah, meja makan dijadikan sebagai kawasan untuk anak-anak mengikuti kelas PdPR, oleh itu, jika meja makan masih dipenuhi dengan makanan, pastinya perkara ini akan mengganggu proses PdPR,” ujarnya.
Menurutnya lagi, walaupun ibu bapa turut mempunyai kerja yang perlu diselesaikan, mereka tidak seharusnya menjadikanya sebagai alasan untuk tidak mengambil tahu akan pelajaran anak-anak.
"Dalam 24 jam, walaupun sibuk, ibu bapa seharusnya memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam sebagai sesi bersama dengan anak-anak, ini adalah masa berkualiti yang perlu diluangkan bersama mereka.
"Ibu bapa perlu memastikan teknik bercakap dengan anak-anak adalah betul, kerana ucapan yang bakal diucapkan mampu mempengaruhi motivasi mereka.
"Ibu bapa juga perlu mengelakan daripada membanding-bandingkan anak-anak dengan anak orang lain. Perkara ini, dia tak sampai satu minit pun, tapi dah cukup menghancurkan hati anak-anak, jadi masa inilah kanak-kanak akan hilang semangat daripada terus mengikuti kelas PdPR,” ujarnya.
Dalam program itu, lebih 350 ibu bapa telah mengikuti program GPSBestari: Zoom In Bersama Personaliti Syamsul Debat yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook GPSBestari, Sinar Harian dan juga SinarPlus.
Untuk mengikuti program ini boleh tonton di Facebook GPSBestari.