Tiada sumbangan, enam pusat tahfiz di Pasir Puteh berdepan risiko ditutup

Iklan
tahfiz
PASIR PUTEH - Lebih 500 pelajar di enam pusat pengajian tahfiz al-Quran di kawasan Semerak di sini, berdepan risiko kehilangan tempat belajar berikutan institusi tersebut berdepan masalah dana untuk menampung perbelanjaan makan minum serta bayaran bil elektrik dan air.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, dua pusat pengajian tahfiz al-Quran berkenaan terletak di Kampung Dalam Rhu, manakala masing-masing sebuah di Kampung Pak Makyong, Kampung Besar, Kuala Semerak dan Kampung Dalam Huma."Saya cadangkan supaya kerajaan Persekutuan salur geran tahunan untuk membantu enam pusat pengajian itu yang semakin tenat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfizul Quran Al-Bukhari di Tok Bali, baru-baru ini.Mengulas lanjut, Wan Hassan berharap geran bantuan itu akan dapat meringankan beban pihak pengurusan pusat terlibat untuk menampung perbelanjaan harian yang sebelum ini hanya diperoleh menerusi sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.Sementara itu, Mudir Maahad Tahfizul Quran Al-Bukhari, Khahairizal Abdullah berkata, pusat tersebut membelanjakan RM300 sehari untuk perbelanjaan makan dan minum untuk keperluan 25 pelajarnya. Khahairizal berkata, pihaknya meramalkan keadaan pusat itu akan bertambah tenat dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya tidak menerima sebarang bentuk bantuan atau dana bagi menampung perbelanjaan bulanan."Sebelum PKP, seramai 80 pelajar termasuk dari Terengganu dan luar negara terutama Vietnam, Indonesia dan Kemboja mengikuti pembelajaran secara percuma di pusat yang ditubuhkan sejak 1998 ini," katanya. - BERNAMA