Kementerian Pendidikan lulus permohonan pembinaan - dua SJKC dapat bangunan baharu
BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pendidikan meluluskan permohonan pembinaan bangunan tambahan di dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pulau Pinang.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan menambah bilik darjah di sekolah tersebut.
"Kerajaan memang sedang menghadapi kesulitan kewangan, tetapi Kementerian Kewangan beri komitmen tinggi supaya murid-murid boleh belajar dalam suasana kondusif.
"Ini sangat penting dalam pendidikan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke SJKC Permatang Tinggi, di sini, semalam.
Menurutnya, pihak Kementerian Pendidikan meluluskan permohonan pembinaan 12 bilik darjah yang baharu di SJKC Permatang Tinggi.
"Projek ini akan ditender pada tahun hadapan dan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos maksimum sebanyak RM10 juta.
"Kita harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin sebab kita memang beri komitmen tinggi dalam perkara ini," katanya.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan permohonan pembinaan 18 bilik darjah baharu di SJKC Kay Sin, Machang Bubuk dengan kos maksimum RM13 juta.
"Projek ini dah dapat kelulusan pada Ogos lalu dan dalam proses tender sebelum boleh dilaksanakan pada tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SJKC Permatang Tinggi, Saw Ai Hwa berkata, pihaknya mengalami masalah kekurangan bilik darjah sejak sekian lama.
"Bangunan lama yang dibina pada 1953 perlu dirobohkan dan diganti dengan bangunan empat tingkat yang baharu supaya dapat menampung bilangan murid yang ramai.
"Sepatutnya bangunan itu memang tak boleh digunakan lagi sebab bahaya, tetapi kami tiada pilihan lain dan terpaksa gunakan juga bangunan itu.
"Sekolah hadapi masalah yang sangat serius. Kekurangan bilik darjah menyebabkan bilangan murid juga semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya," katanya kepada Sinar Harian.