smart7
smart7

Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari, hargai inisiatif seluruh warga sekolah capai pelbagai kecemerlangan

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Jun 2022 04:57pm
A
A
A

Bagi menyokong inisiatif dan peranan yang dimainkan oleh pihak pengurusan, guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti dalam memacu kecemerlangan sekolah, bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari menganjurkan Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB).

ASSSB merupakan anugerah yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun ini untuk memberi pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang menepati ciri-ciri S.M.A.R.T.

Menurut Pengarah Projeknya, Meen Tahrin, ciri-ciri sekolah S.M.A.R.T merujuk kepada Skil, Mahir, Atribut, Relevan dan Teknologi.

“Ciri skil memberi fokus kepada pihak pengurusan untuk menjayakan pembangunan sekolah, mahir pula kepada kemahiran para guru menjayakan teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

“Atribut fokus kepada kemenjadian pelajar meliputi pelbagai aspek iaitu akademik, insaniah dan kokurikulum, relevan memberi tumpuan kepada projek atau program sekolah yang berkaitan dalam keperluan pendidikan abad ke-21 manakala teknologi adalah penggunaan teknologi sepanjang pandemik,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Tambah beliau, sebanyak RM50,000 hadiah wang tunai secara keseluruhan ditawarkan untuk pemenang bagi lima kategori iaitu Sekolah Rendah (kategori luar bandar dan bandar), Sekolah Menengah (kategori luar bandar dan bandar) serta Anugerah Khas Juri.

Keunikan ASSSB

Ujar Meen yang juga Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Bestari, ASSSB berbeza dengan anugerah lain kerana ia tidak hanya memberi fokus kepada satu pihak saja, sebaliknya melibatkan keseluruhan warga sekolah.

Meen Tahrin.

“Anugerah ini membuat penilaian dari pelbagai sudut merangkumi pengurusan dan pembangunan sekolah, kemahiran guru, kemenjadian pelajar dan penggunaan teknologi yang relevan dengan situasi zaman sekarang.

“Kecemerlangan akademik bukanlah satu-satunya aspek yang dinilai tetapi apa sahaja yang mempunyai nilai-nilai baik, terpuji, memberi inspirasi, teladan dan sebagainya turut diambil kira dalam anugerah ini.

“Semuanya boleh dicalonkan kerana kami percaya kecemerlangan sesebuah sekolah itu bukan sahaja berjaya dicapai kerana sumbangan satu pihak, sebaliknya hasil usaha ramai termasuklah pentadbir, guru, pelajar dan ibu bapa,” ujar beliau.

Shamsul Arrieya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Ts Dr Shamsul Arrieya Arrifin berkata, penganjuran ASSSB dilihat dapat menggalakkan inovasi dan kreativiti secara menyeluruh untuk warga sekolah.

Cetus kreativiti

“Ia bukan saja mencetuskan motivasi sebaliknya menimbulkan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu sejajar dengan perubahan landskap pendidikan hari ini yang mula mengadaptasi pembelajaran digital berikutan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Tidak dinafikan pandemik Covid-19 mengubah paradigma pembelajaran daripada bersemuka kepada dalam talian, bukan saja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia sehingga menyebabkan kreativiti dan pembelajaran dalam talian terus dipergiatkan dengan banyaknya bagi mengekang penularan wabak.

“Selain itu, guru-guru juga perlu sentiasa memikirkan teknik dan kaedah inovasi yang bagus dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) sehinggakan kita dapat lihat lebih banyak kandungan digital dihasilkan dari segi audio, video, multimedia dan inovasi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Shamsul Arrieya yang juga Ketua Penyelidik SIG Kebolehgunaan Pengujian Perisian Pendidikan, Konsortium Kecemerlangan Industri Kreatif dan Budaya FSKIK berkata, dengan adanya anugerah seperti ASSSB, ia akan dapat menimbulkan kreativiti, sekali gus menjadi motivasi untuk menghasilkan kaedah pengurusan yang baharu di sekolah.

“Pertandingan sebegini juga akan meningkatkan prestasi sesebuah sekolah kerana ia membuat penilaian secara holistik, bukan saja merangkumi aspek teknologi tetapi juga pembangunan insan.

“Penilaian yang menyeluruh ini akan mampu melahirkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga pendidik, pelajar dan pihak pengurusan selain menarik minat pihak swasta untuk menjalin kerjasama bersama sekolah yang memiliki potensi dalam bidang inovasi.

“Bagi sekolah yang ingin mengambil bahagian dalam pertandingan ini, saya sarankan supaya terus berinovasi dengan berfikiran kreatif dan kritis menerusi penggunaan teknologi dalam pendidikan untuk kelestarian pendidikan dan teknologi demi kesejahteraan sekolah,” kongsinya.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022, Roslan Yatim, 65, berpendapat pihak sekolah seharusnya merebut peluang yang ada dengan mengambil bahagian dalam ASSSB.

Roslan.

“Penyertaan dalam pertandingan sedemikian mampu mendidik dan menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran merentasi kurikulum atau disiplin seperti yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan murid yang holistik.

“Saya menyokong usaha yang dibuat Sinar Bestari kerana ia memberi peluang kepada pihak pengurusan, guru-guru dan pelajar untuk mengilap bakat dan kemahiran yang ada supaya dapat terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara,” tuturnya.

Syarat-syarat penyertaan ASSSB 2021/2022

Dua kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah dan menengah.

Pertandingan terbuka kepada semua sekolah rendah dan menengah kerajaan sahaja. Sekolah swasta tidak dibenarkan turut serta.

Sekolah perlu menepati kriteria S.M.A.R.T

Pihak sekolah perlu melengkapkan borang dan pembentangan dalam bentuk slide

Setiap penyertaan perlu pencalonan 2 guru dan 3 pelajar terbaik untuk dinilai

Penyertaan mestilah disahkan oleh guru besar atau pengetua

Tarikh tutup penyertaan pada 16 Julai 2022

Penyertaan akan terbatal jika terdapat maklumat yang tidak benar.

Keputusan adalah muktamad setelah disahkan oleh auditor.

Segala bahan-bahan pertandingan yang diberikan menjadi hak milik Sinar Bestari dan boleh digunakan untuk apa-apa sahaja tujuan Sinar Bestari serta anak syarikat di bawah Sinar Karangkraf

Setiap sekolah yang mengambil bahagian akan dinilai berdasarkan pencapaian atau perkembangan sepanjang tahun 2021 hingga 2022

Borang penyertaan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang sinarbestari.sinarharian.com.my, e-mel ke sinarbestari@sinarharian.com.my atau hubungi talian 019-2329032

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan