Menurut Putri Aisya Humaira (kiri), Siti Nur Zulaikha (kanan) merupakan rakan yang baik, tidak pernah berkira, saling berkongsi makanan dan sentiasa menemaninya ke mana sahaja.
Menurut Putri Aisya Humaira (kiri), Siti Nur Zulaikha (kanan) merupakan rakan yang baik, tidak pernah berkira, saling berkongsi makanan dan sentiasa menemaninya ke mana sahaja.

'Dia kata penat, nak tidur selama-lamanya' - Rakan sebilik kongsi luahan Siti Nur Zulaikha sebelum nahas

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYASITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
03 Mar 2026 12:10pm

Pelajar Kolej Vokasional (KV) Nibong Tebal, Pulau Pinang yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ketika dalam perjalanan ke asrama bersama abangnya pada Ahad pernah meluahkan rasa ingin tidur buat selama-lamanya akibat kepenatan.

Luahan Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, 18, itu dikongsi Putri Aisya Humaira Abdullah, 18, yang merupakan rakan sebilik arwah.

Menurut Putri Aisya Humaira, rakannya itu berkongsi luahan tersebut ketika mereka berjalan kaki dari asrama menuju ke kelas pada Jumaat lalu.

"Dia kata penat... nak tidur selama-lamanya. Masa itu kami hendak ke kelas, saya mengiyakan sahaja apa yang dikatakan... ingatkan itu luahan biasa, tak sangka dia sudah tiada," katanya ketika ditemui di Masjid Al-Hannan, Pekan Teroi pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, Siti Nur Zulaikha yang merupakan pelajar Semester Akhir Sijil Pengurusan Perniagaan membonceng motosikal bersama abangnya, Luqman Nulrois, 19, pelajar Semester Dua Diploma Teknologi Pembinaan yang sedang dalam perjalanan pulang ke asrama mereka.

Kedua-dua pelajar KV Nibong Tebal itu bertolak dari rumah di Kampung Teroi Bukit di sini sebelum motosikal yang dinaiki berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di kiri jalan berhampiran lokasi kejadian ketika menghala ke Bertam.

Siti Nur Zulaikha dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala Luqman Nulrois meninggal dunia di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menurut Putri Aisya Humaira, Siti Nur Zulaikha merupakan rakan yang baik, tidak pernah berkira, saling berkongsi makanan dan sentiasa menemaninya ke mana sahaja.

"Kami rapat, ke mana-mana berdua... lepas ini tinggal saya seorang sahaja," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penyelaras Majlis Perwakilan Pelajar KV Nibong Tebal, Aniza Mustafa berkata, Luqman Nulrois sememangnya dikenali sebagai pelajar cemerlang dan mempunyai sahsiah terpuji.

"Arwah merupakan Exco Kolej Kediaman Majlis Perwakilan Pelajar, disenangi rakan dan guru serta seorang yang ringan tulang.

"Tanyalah kepada mana-mana guru, pasti mereka bercerita tentang baiknya budi pekerti Luqman Nulrois.

"Apabila mendapat tahu petang semalam, saya terus tiada selera untuk berbuka puasa, kami jadi sebak... kehilangannya cukup dirasai," katanya.

Menurutnya, ramai guru dan rakan mengiringi kedua-dua pelajar tersebut termasuk sebuah bas yang dikhaskan untuk membawa warga KV ke Masjid Al-Hannan di sini bagi menziarahi jenazah.

Kedua-dua beradik itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi selepas solat Zohor.

 

 

Ringkasan AI
  • Pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal, Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, maut dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan
  • Siti Nur Zulaikha pernah luahkan rasa penat dan ingin tidur buat selama-lamanya kepada rakan sebilik
  • Siti Nur Zulaikha dan abangnya, Luqman Nulrois, dalam perjalanan pulang ke asrama ketika kemalangan berlaku
  • Luqman Nulrois juga meninggal dunia akibat kemalangan itu
  • Kedua-dua pelajar itu dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat Zohor
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp