
Duit raya bukan sekadar wang
Di sebalik sampul Syawal, tersimpan peluang mendidik murid jadi generasi celik kewangan
Tradisi memberi duit raya bukan sekadar simbol kegembiraan Syawal, namun secara tersirat ia titik permulaan literasi kewangan sejak muda.
Melalui pemberian ini, murid berpeluang memahami nilai wang dan membuat keputusan bijak, sama ada disimpan, dibelanjakan atau dikongsi.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, duit raya dianggap sebagai ‘pendapatan kecil’ yang memberi ruang kepada murid untuk belajar mengurus kewangan sendiri.
Menurutnya, dari perspektif pendidikan, ibu bapa boleh menjadikannya sebagai alat praktikal dengan membimbing anak membahagikan wang kepada simpanan, perbelanjaan atau sedekah.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengajar pengurusan wang tetapi turut menyemai tanggungjawab, disiplin dan empati kepada mereka.
“Dengan bimbingan yang tepat, setiap sampul duit raya boleh menjadi langkah pertama membina kemahiran kewangan yang berguna sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Bestari.
Praktikal untuk menyimpan
Apabila jumlah yang diterima agak besar, secara tidak langsung ia membuka ruang untuk murid-murid belajar merancang penggunaan wang, membezakan antara keperluan dan kehendak serta menanam tabiat menyimpan untuk masa hadapan.
Umi Hamidaton berkata lagi, kemahiran ini penting supaya murid tidak mudah berbelanja secara impulsif dalam tempoh ekonomi sekarang.
“Duit raya boleh dijadikan sebagai alat praktikal untuk memahami bahawa setiap wang yang diterima perlu diurus dengan perancangan, bukan sekadar dibelanjakan seketika.
“Dengan bimbingan ibu bapa atau guru-guru, murid dapat membahagikan wang kepada simpanan, belanja dan sedekah.
“Ia juga akan menyemai disiplin, tanggungjawab dan pemikiran rasional,” katanya lagi.
Pendedahan awal seperti ini sebenarnya membantu membentuk generasi celik kewangan, bijak membuat keputusan ekonomi dan tidak mudah terperangkap dalam budaya berbelanja tanpa perancangan.
Bukan sekadar sampul
Di sebalik kegembiraan menerima duit raya ini, wujud cabaran jarang disedari ibu bapa dan guru.
Bagi sesetengah murid, duit raya dianggap sumber mudah diperoleh sekali gus melemahkan amalan menabung dan sikap jimat cermat.
Umi Hamidaton berkata, jumlah wang yang banyak tanpa pengawasan boleh mendorong sikap materialistik dalam kalangan murid-murid.
“Mereka mula mengaitkan nilai perayaan dengan jumlah wang diterima, bukan makna sebenar hari raya iaitu silaturahim, kesyukuran, kebersamaan keluarga dan semangat kongsi rezeki,” katanya.
Oleh itu, pendekatan bijak amat diperlukan iaitu ibu bapa dan guru digalakkan mengajar murid menyusun perancangan kewangan sederhana.
“Contohnya menyimpan sebahagian duit raya, mengutamakan keperluan dan menyalurkan sebahagian untuk sedekah atau amal jariah.
“Dengan langkah ini, mereka bukan sahaja mempelajari nilai wang, malah membentuk disiplin dan kesedaran diri sejak kecil,” ujarnya.
- Tradisi memberi duit raya memulakan literasi kewangan sejak muda
- Murid belajar mengurus kewangan melalui pembahagian wang ke dalam simpanan, belanja, dan sedekah
- Pemberian duit raya dianggap sebagai 'pendapatan kecil' untuk belajar kewangan
- Bimbingan ibu bapa dan guru membantu membentuk kemahiran kewangan, disiplin, dan tanggungjawab
- Duit raya bukan hanya tentang wang tetapi juga mengajar nilai perayaan dan mengelak sikap materialistik
