
Dua pelajar UPSI harumkan nama negara, sertai Skuad Podium dan Pelapis Olahraga Malaysia 2026! 'Good luck Danish Iftikar & Adam Haqimi'
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan keunggulannya apabila pelajar dan alumninya mencipta kejayaan membanggakan di pentas sukan antarabangsa dan kebangsaan.
Baru-baru ini, alumni UPSI, Nur Syafiqah Hamzah mengharumkan nama kampus dan negara apabila merangkul pingat emas dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejurulatihan (2019) itu mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara acara tunggal puteri, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat Malaysia dalam acara berkenaan.
Kejayaan tersebut disusuli pula dengan pencapaian membanggakan dua pelajar UPSI apabila terpilih menyertai Skuad Podium dan Pelapis Olahraga Malaysia bagi tahun 2026.
Danish Iftikar Muhammad Roslee, 19, dan Adam Haqimi Azrail, 20, yang kedua-duanya mengikuti program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan, dipilih oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas mempamerkan prestasi konsisten serta cemerlang dalam beberapa kejohanan olahraga peringkat kebangsaan sepanjang musim lalu.
Danish Iftikar akan menggalas cabaran negara dalam acara pecut 100 meter, manakala Adam Haqimi bakal beraksi dalam acara lompat jauh.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan yang diraih merupakan hasil dedikasi tinggi para atlet serta komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi.
"Pemilihan ini membuktikan keupayaan atlet universiti untuk bersaing bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di pentas antarabangsa.
"Ia juga merupakan pengiktirafan terhadap usaha gigih atlet dengan sokongan padu jurulatih serta pihak universiti yang sentiasa komited melahirkan atlet cemerlang," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian tersebut sekali gus mengangkat nama UPSI sebagai institusi yang memainkan peranan aktif dalam melahirkan atlet berpotensi tinggi untuk mewakili negara.
Menurutnya, UPSI sentiasa komited menyediakan persekitaran pembelajaran serta kemudahan latihan yang kondusif bagi membantu atlet pelajar menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan sukan.
"Universiti percaya kejayaan Danish Iftikar dan Adam Haqimi mampu menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing," ujarnya.
Kedua-dua atlet berkenaan dijangka menyertai latihan pusat bersama skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa anjuran KOM sepanjang tahun ini.
Penyertaan mereka dalam program Skuad Podium dan Pelapis Olahraga Malaysia 2026 diharap dapat memperkukuh prestasi serta menambah pengalaman, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia.
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menonjol dalam sukan antarabangsa dan kebangsaan melalui pencapaian pelajar dan alumninya
- Nur Syafiqah Hamzah, alumni UPSI, meraih pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025
- Dua pelajar UPSI, Danish Iftikar Muhammad Roslee dan Adam Haqimi Azrail, terpilih untuk Skuad Podium dan Pelapis Olahraga Malaysia 2026
- Naib Canselor UPSI menekankan dedikasi atlet dan komitmen universiti membawa kepada kejayaan ini
- Penyertaan atlet UPSI dalam Skuad Podium dan Pelapis membuka peluang memperkuat prestasi dan mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia