
JPNT arah sekolah sedia air minuman hadapi cuaca panas
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan semua sekolah di negeri ini supaya menyediakan bekalan air minuman yang mencukupi kepada pelajar bagi menghadapi cuaca panas pada masa ini.
Pengarah JPNT, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, bagi sekolah berasrama pula, bekalan air minuman perlu disediakan 24 jam, menggunakan kemudahan mesin penapis air dan sebagainya.
Beliau berkata, fokus utama jabatan adalah untuk memastikan semua pelajar mendapat bekalan air yang mencukupi sepanjang tempoh pembelajaran serta aktiviti sekolah yang lain, sekali gus mengelak berlakunya kejadian seperti strok haba.
"JPNT telah arahkan 507 sekolah untuk menyediakan bekalan air bersih dan air minuman untuk 258,588 pelajar di seluruh negeri.
"Kita juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalin kerjasama bersama-sama rakan strategik bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kebocoran paip di sekolah," katanya selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tumbuh.
Kamsah berkata, setakat ini, keadaan cuaca di Terengganu masih terkawal dengan suhu maksimum dicatatkan pada tahap 33 darjah Celsius.
Oleh itu, beliau berkata, tiada keperluan untuk pihaknya melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti di beberapa lokasi di Kedah.
"Tetapi, kita telah mengedarkan garis panduan khusus kepada semua sekolah agar pelajar diberi kelonggaran tidak memakai tali leher atau mengancing butang baju hingga paras leher sekiranya cuaca semakin panas.
"Pengetua atau guru besar diberi kuasa penuh untuk membenarkan pelajar memakai pakaian sukan atau kemeja-T yang sopan sekiranya keadaan memerlukan," katanya. - Bernama
- JPNT mengarahkan semua sekolah di Terengganu menyediakan bekalan air minuman mencukupi kepada pelajar.
- Sekolah berasrama perlu menyediakan bekalan air minuman 24 jam menggunakan kemudahan mesin penapis air.
- JPNT memastikan 507 sekolah menyediakan air bersih untuk 258,588 pelajar bagi mengelakkan strok haba.
- Kerjasama bersama rakan strategik dibuat bagi menangani kebocoran paip di sekolah dengan cepat.
- Garis panduan membenarkan pelajar tidak memakai tali leher dan memakai pakaian sukan jika cuaca panas.