
Sultan Ibrahim perkenan santuni usaha kebajikan: QSR Brands sumbang RM1 juta bantu pelajar kurang berkemampuan
Keprihatinan terhadap kebajikan dan masa depan pendidikan negara terus dizahirkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis QSR Brands Kongsi Bersama Dalam Usaha Membantu Pelajar Kurang Berkemampuan di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Dalam majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM1 juta daripada QSR Brands kepada institusi pendidikan terpilih sebagai penerima sulung inisiatif berkenaan.
Antara penerima manfaat ialah Sekolah Kebangsaan Tasek Utara di Johor Bahru yang merupakan Sekolah Rintis Bangsa Johor, serta Pusat Jagaan Baitul Sakinah di Selangor.

Menurut Nehchal, inisiatif itu diinspirasikan daripada keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan usaha memberi kembali kepada masyarakat, selain menyokong pembangunan negara walaupun dalam situasi mencabar.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan dengan menyediakan asas yang lebih kukuh kepada pelajar serta peluang bermakna untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.
QSR Brands merupakan pengendali rangkaian makanan segera terkemuka yang menguruskan jenama popular seperti KFC dan Pizza Hut di Malaysia.
Usaha ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkasa akses pendidikan dan kebajikan pelajar kurang berkemampuan, sekali gus membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk mereka melakar masa depan yang lebih cerah.
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menghadiri majlis QSR Brands membantu pelajar kurang berkemampuan.
- QSR Brands menyumbang RM1 juta kepada institusi pendidikan terpilih.
- Sekolah Kebangsaan Tasek Utara dan Pusat Jagaan Baitul Sakinah antara penerima manfaat.
- Inisiatif ini diinspirasikan oleh keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap masyarakat dan pembangunan negara.
- QSR Brands menguruskan jenama makanan segera seperti KFC dan Pizza Hut di Malaysia.