
SPM 2025: Kohort pertama pelajar tanpa UPSR, PT3 tampil daya tahan tinggi - Fadhlina
Kohort pertama pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa melalui peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membuktikan daya tahan tinggi apabila mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan itu tahun lepas.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, generasi ini, yang sering menjadi perhatian kerana tidak melalui sistem peperiksaan berpusat di peringkat awal, berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk gangguan pembelajaran semasa pandemik Covid-19.
"Saya ingat ini kohort ataupun satu generasi anak-anak yang sentiasa dibincangkan kerana mereka tidak ada sebarang peperiksaan sebelum itu.
"Kita mengambil sikap lebih positif melihat kepada apa sedang berlaku dalam konteks pendidikan negara khususnya apabila mereka ini dengan keputusan ini telah membuktikan bahawa mereka adalah satu generasi ataupun kohort anak-anak yang ada daya tahan cukup tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengumuman keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, Selangor hari ini.
Fadhlina berkata, kejayaan itu turut mencerminkan keberkesanan intervensi serta sokongan berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak sekolah.
"Mereka telah mengharungi pelbagai ujian termasuk Covid-19 dan hari ini mereka membuktikan bahawa daya tahan mereka itu adalah sangat tinggi di samping sokongan daripada semua intervensi yang kita lakukan," katanya.
Beliau berkata, pengalaman berdepan cabaran tersebut telah membentuk kekuatan pelajar untuk mencapai keputusan yang baik dalam SPM.
"Secara keseluruhannya mereka membuktikan bahawa ujian-ujian sebelum ini telah memberikan satu kekuatan kepada mereka untuk mendapat keputusan yang sangat baik pada hari ini," katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya akan terus memperkukuh intervensi bagi menangani isu ketidakhadiran serta memperkasakan sistem sokongan kepada calon SPM.
Beliau berkata, antara fokus utama ialah memastikan kehadiran pelajar, menyediakan sokongan sosial ekonomi serta memperkukuh bantuan akademik melalui pelbagai inisiatif termasuk program tuisyen dan ziarah cakna.
"Masih ada perkara yang perlu diambil perhatian serius oleh semua peringkat. Sebab itu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah serta sekolah, kita arahkan ada satu pendekatan akauntabiliiti di peringkat pengaturan untuk memastikan soal kehadiran.
"Untuk tahun ini kita ada beberapa langkah lagi yang sedang dilihat dan dikenal pasti untuk menangani isu kehadiran terkait rapat dengan SPM ini," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Kohort pertama SPM tanpa UPSR dan PT3 menunjukkan pencapaian tinggi.
- Mereka berdaya tahan tinggi menghadapi cabaran termasuk pandemik Covid-19.
- Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan sokongan dan intervensi KPM.
- Cabaran lalu membentuk kekuatan pelajar mencapai keputusan cemerlang.
- KPM akan terus memperkukuh intervensi dan sistem sokongan calon SPM.