Putri Noor Syahida (tengah) berkongsi kejayaan bersama bapa Mohd Syah Rizal Sulong, 48, dan ibu Norlida Mohd Nor, 42, setelah memperoleh keputusan cemerlang 8A pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA).
Putri Noor Syahida (tengah) berkongsi kejayaan bersama bapa Mohd Syah Rizal Sulong, 48, dan ibu Norlida Mohd Nor, 42, setelah memperoleh keputusan cemerlang 8A pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA).

SPM 2025: Pelajar cerebral palsy raih keputusan cemerlang

31 Mar 2026 07:05pm

Kekurangan fizikal tidak menghalang calon Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) 2025 dariSekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Putri Noor Syahida Mohd Syah Rizal, 18, yang menghidap cerebral palsy antara empat pelajar berkeperluan pendidikan khas di Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan itu selepas memperoleh 1A+, 2A dan 5A-.

Anak tunggal itu berkata, kejayaan tersebut berkat pengorbanan ibu bapanya, Mohd Syah Rizal Sulong, 48, dan Norlida Mohd Nor, 42, yang bertungkus lumus memastikan dirinya mendapat pendidikan terbaik sejak sekolah rendah.

"Pergerakan saya agak terbatas kerana penyakit dihadapi. Oleh itu, setiap hari ayah akan menghantar serta menunggu sehingga tamat kelas untuk membantu menaiki tangga dan sebagainya.

"Ayah tidak dapat bekerja kerana menguruskan persekolahan saya. Pengorbanan ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA). 

Putri Noor Syahida berkata, keadaan itu memaksa ibunya bekerja sebagai jurujual kereta bagi membantu menyara keluarga.

Justeru, remaja itu berharap dapat menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Rakit supaya dapat bergelar guru untuk membela nasib keluarga.

"Saya harap dapat melanjutkan pelajaran di IPG Batu Rakit kerana dekat dengan keluarga. Kalau belajar jauh agak sukar kerana masih perlu bantuan bapa untuk bergerak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Ateef Zhofran (kiri) berkongsi kejayaan bersama ibunya Norfadilah Awang, 49, setelah memperoleh keputusan cemerlang 10A.
Ahmad Ateef Zhofran (kiri) berkongsi kejayaan bersama ibunya Norfadilah Awang, 49, setelah memperoleh keputusan cemerlang 10A.

Sementara itu, calon berkeperluan pendidikan khas, Ahmad Ateef Zhofran Abdul Majid Tahir, 18, yang memperoleh 10A berkata, kematian bapanya Abdul Majid Tahir Mohamed pada 2024 akibat kanser hampir melunturkan semangatnya untuk belajar.

Bagaimanapun, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin Ladang di Kuala Terengganu itu bangkit semula berkat dorongan insan sekeliling dan enggan menjadikan kecacatan pendengaran dialaminya sejak lahir sebagai penghalang untuk berjaya.

"Saya harap pencapaian yang tidak seberapa ini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar istimewa lain untuk terus berjaya.

"Kecacatan bukan halangan. Paling penting kita berusaha, jaga adab dengan ibu bapa, guru dan rakan serta penting menjaga hubungan dengan ALLAH," katanya. - Bernama

Ringkasan AI
  • Kekurangan fizikal tidak menghalang Putri Noor Syahida mendapat keputusan cemerlang SPM. Pengorbanan ibu bapa Putri Noor Syahida penting untuk kejayaannya. Ayah Putri Noor Syahida tidak bekerja untuk menjaga persekolahan anaknya. Putri Noor Syahida berharap dapat belajar di IPG Batu Rakit. Ahmad Ateef Zhofran berusaha keras dan berjaya walaupun kehilangan bapa.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp