
Kejayaan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dalam SPM 2025 cetus kekaguman warganet! 'Cemerlang hafazan & akademik, inilah anak tahfiz luar biasa'
"Hebat pelajar Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang. GPS 0.60 tu. MRSM dan SBP pun lebih 1.0. GPS lagi rendah lagi cemerlang ya.
"Anak-anak yang berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran, akademik lagi senang mereka score. Benarlah kata ulamak, kejar dunia, dapat dunia semata-mata. Kejar akhirat, dunia akan mengejarmu," demikian hantaran bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh di Facebooknya pada Rabu.
Perkongsian beliau mengenai pencapaian cemerlang Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 ternyata mendapat perhatian ramai sehingga meraih ribuan tanda suka, ratusan komen serta dikongsi berulang kali oleh warga maya.
Rata-rata warganet terkejut dan kagum melihat pencapaian pelajar-pelajar tahfiz yang tidak hanya menonjol dalam hafazan al-Quran, malah cemerlang dalam akademik.
Ramai yang meluahkan ucapan tahniah, doa dan rasa terinspirasi oleh kejayaan ini.
Antara komen yang dipetik di beberapa media sosial termasuk:
Rzaei Said: "Alhamdulillah. Keupayaan menghafal adalah berkat usaha gigih dan disiplin tinggi. Jika guru akademik mengajar dengan baik dan tepat, insya-ALLAH pelajar akan cemerlang."
Rusuzaimi Ishak: "Alhamdulillah. Putera bongsu kami salah seorang daripada 48 pelajar Batch SPM As Syafie Maahad Tahfiz Thurath Negeri Pahang. Sebulan puasa, rezeki jadi imam tarawih di madrasah taman kami bersama sahabat sekelasnya bergilir-bergilir."
Azian Zakaria: "Bila bersama al-Quran, jiwa terjaga jauh dari anasir luar. Mudah hafal dan faham pelajaran."
Encik Mie: "Generasi macam ini adalah permata negara pada masa hadapan. Semoga lebih ramai dapat dilahirkan."
Badrul: "Syabas dan tahniah! Tidak mudah mengimbangi hafazan dan akademik, kalian memang hebat."
Wan Aminah: "Alhamdulillah, hebatnya anak-anak tahfiz! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua pelajar di seluruh negara."
Terdahulu, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 bagi SPM 2025 dengan 25 calon memperoleh keputusan semua A.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, seramai 48 calon menduduki SPM dengan 100 peratus kehadiran. Daripada jumlah itu, 25 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon layak mendapat sijil.
"Pada 2025, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang memperoleh GPS 0.60 mata. Maksudnya dia capai antara A dengan A+. Ini membuktikan bahawa Maahad Tahfiz Turath ini merupakan pencapaian yang sangat besar kepada Pahang.
"Selain menunjukkan prestasi cemerlang, mereka juga dilatih untuk menghafal 30 juzuk al-Quran dan aktif dalam bidang kokurikulum seiring dengan modal insan seimbang duniawi dan ukhrawi," katanya dalam sidang akhbar pengumuman SPM 2025 Pahang di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri.
Ringkasan AI
- Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang memperoleh GPS 0.60 dalam SPM 2025.
- Sebanyak 25 pelajar mendapat semua A dalam peperiksaan.
- Pencapaian ini menarik perhatian ramai dan memberi inspirasi.
- Pelajar tahfiz cemerlang dalam akademik dan hafazan al-Quran.
- Kejayaan ini dipuji dan dianggap sebagai permata negara.