
Cikgu Rohana bersara setelah 32 tahun mendidik anak bangsa
"Saya sedih, namun pada masa yang sama gembira kerana perkhidmatan saya sudah sampai ke penghujungnya,” kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Selangor, Cikgu Rohana Jaafar, kepada Sinar Bestari semasa majlis persaraannya baru-baru ini.
Beliau yang mengakhiri khidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan berkata, dirinya telah bertugas di SMK Seksyen 19 selama empat tahun dan pelbagai pengalaman berharga diperoleh sepanjang tempoh itu.
"Walaupun sekolah ini mempunyai bilangan pelajar yang ramai, saya gembira kerana mereka membawa banyak kebahagiaan dan semangat.
"Guru-gurunya juga sangat menyokong, semuanya sporting dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan saya di sini. Terima kasih semua," tambah beliau, sambil menahan sebak.
Cikgu Rohana berkata, walaupun tidak mempunyai sebarang perancangan khusus selepas bersara, beliau berharap dapat melihat kesinambungan pendidikan yang baik di sekolah itu.
"Kepada barisan guru, teruskan menjalankan tugas sebagai pendidik dengan seikhlas hati, penuh dedikasi dan bertanggungjawab.
"Untuk para pelajar pula, belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah insan yang terdidik. Jangan lupakan jasa cikgu-cikgu yang pernah mendidik kamu. Saya doakan kalian semua sihat dan berjaya," pesannya.
