
Platform digital bantu Alyssa Dezek raih 9A SPM! 'Saya ambil semua subjek secara online & sejujurnya, perjalanan ini bukan mudah...'
Pada era digital hari ini, platform pembelajaran dalam talian menjadi antara alternatif penting bagi membantu pelajar memahami subjek dengan lebih mendalam.
Selain menawarkan kelas secara fleksibel, pembelajaran secara online juga memberi peluang kepada pelajar mengulang kaji pada bila-bila masa, sekali gus memudahkan mereka mengurus masa dengan lebih sistematik.
Pendekatan itu terbukti berkesan buat penyanyi muda dan personaliti YouTube Malaysia, Aryanna Alyssa Mohamed Hafidz atau lebih dikenali sebagai Alyssa Dezek, apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Lebih membanggakan, pencapaian tersebut diraih walaupun Alyssa aktif dalam dunia hiburan dan mempunyai jadual seni yang padat.
Menurut remaja ini, faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya adalah konsistensi dalam pembelajaran serta penggunaan platform digital secara terancang.
Sepanjang tempoh persediaan menghadapi SPM, beliau mengikuti kelas dalam talian anjuran PTTI bagi kesemua sembilan mata pelajaran, yang disifatkan banyak membantu meningkatkan kefahaman serta memudahkan proses ulang kaji.
"Saya sangat bersyukur. Sejujurnya, perjalanan ini bukan mudah kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.
"Tapi saya percaya, kalau kita ada disiplin dan sistem pembelajaran yang betul, insya-ALLAH kita boleh capai apa yang diimpikan," katanya seperti dipetik dalam portal tempatan.

Tambah Alyssa, pembelajaran secara dalam talian memberi ruang kepadanya untuk belajar secara lebih fleksibel tanpa menjejaskan komitmen terhadap kerjaya seni.
Menurutnya lagi, teknik pengajaran yang sistematik serta nota ringkas yang mudah difahami membantu pelajar memahami topik yang kompleks dengan lebih cepat.
Dalam masa sama, Alyssa tidak melupakan individu yang banyak menyokongnya sepanjang perjalanan akademik tersebut.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya, guru-guru di sekolah serta pihak PTTI yang sentiasa memberi dorongan dan bimbingan sehingga berjaya mencapai keputusan membanggakan.
