Fadhlina
Fadhlina

KPM mula siasatan dalaman insiden pelajar maut dirempuh di sekolah

13 Apr 2026 09:35am

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan itu bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan, selain kejadian juga sedang disiasat pihak berkuasa.

"Mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang terlibat kemalangan pada petang Ahad. 

"Mewakili seluruh keluarga KPM, saya zahirkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini," katanya menerusi hantaran Facebook. 

Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa, dengan aspek kebajikan dan kesejahteraan pihak terlibat perlu diberi tumpuan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komsioner Mohd Azmir Damiri berkata, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi pelajar cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan sekolah tersebut.

Beliau berkata, kejadian pada 1.50 tengah hari dipercayai berlaku apabila pemandu wanita itu tersalah menekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya terbabas dan melanggar dua pelajar yang sedang memakai kasut di hadapan surau itu serta tiang batu surau berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp