Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh (dari kiri) Cikgu Amierah Aqeelah, Nur Fatimatul Hawa dan Nurul Ayra Alesha Amran. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan ketenangan di alam abadi.
Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh (dari kiri) Cikgu Amierah Aqeelah, Nur Fatimatul Hawa dan Nurul Ayra Alesha Amran. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan ketenangan di alam abadi.

Pemergian tiga insan undang sebak ramai - 'Semoga ditempatkan di syurga yang indah, Cikgu Amierah Aqeelah, Nur Fatimatul Hawa & Nurul Ayra Alesha'

14 Apr 2026 04:21pm

Pemergian insan tersayang pastinya meninggalkan kesan yang cukup mendalam, apatah lagi apabila mereka masih muda dan sedang melangkah dalam perjalanan hidup masing-masing.

Terbaharu, dunia pendidikan dikejutkan dengan berita pemergian guru pelatih dan pelajar yang berlaku dalam tempoh berdekatan di beberapa lokasi berbeza.

Guru pelatih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau, Sabah, Cikgu Amierah Aqeelah Arbin dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Bandar Sri Indah, Tawau, Sabah pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga merupakan penuntut tahun akhir di sebuah universiti disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemergian Allahyarhamah memberi kesan kepada keluarga serta warga pendidikan yang mengenali beliau sebagai seorang yang berdedikasi dalam bidang perguruan.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan Satu SMK Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin turut dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu kejadian di hadapan kawasan sekolahnya pada Ahad.

Pihak sekolah dan masyarakat setempat menzahirkan rasa dukacita atas pemergiannya yang disifatkan sebagai pelajar ceria dan disenangi rakan-rakan.

Dalam perkembangan berasingan, pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang, Selangor, Nurul Ayra Alesha Amran (SPM Batch 08) meninggal dunia pada Ahad, menurut perkongsian yang dimuat naik oleh pihak sekolah di Facebook rasmi mereka.

Walaupun punca pemergian tidak dinyatakan dalam hantaran tersebut, ia telah mengundang rasa sebak warga maya, rakan-rakan serta komuniti yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah dan doa.

Artikel Berkaitan:

"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosa-dosa dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh," demikian antara doa dititipkan warga maya dan komuniti pendidikan.

Sesungguhnya, setiap yang hidup pasti akan kembali kepadaNya. Pemergian ini menjadi peringatan buat semua bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara dan yang kekal adalah amal serta kebaikan ditinggalkan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp