
Transisi kerjaya yang selamat: Menangkis jerat penipuan pekerjaan dalam kalangan belia OKU
Bayangkan senario ini:
Seorang belia autistik yang baru sahaja menamatkan latihan kemahiran pulang ke rumah dengan wajah berseri-seri.
Di skrin telefon pintarnya tertera satu mesej WhatsApp yang menawarkan pekerjaan mudah dari rumah dengan gaji mencecah RM3,000 sebulan.
Syaratnya cukup ringkas. Dia hanya perlu menghantar gambar kad pengenalan depan belakang dan butiran akaun bank untuk 'tujuan pendaftaran'.
Bagi individu tipikal, amaran bahaya (red flags) ini mungkin jelas kelihatan. Namun, bagi belia istimewa ini, mesej tersebut ibarat tiket kebebasan dan pengiktirafan bahawa dia akhirnya mampu berdikari.
Tragisnya, di sebalik keghairahan melangkah ke alam pekerjaan, belia Orang Kurang Upaya (OKU) kini menjadi sasaran empuk pemangsa digital yang licik bersembunyi di sebalik skrin.
Isu penipuan tawaran pekerjaan (job scam) dan manipulasi keldai akaun bukan lagi sekadar jenayah yang menjerat golongan profesional; ancaman senyap ini telah merayap masuk mengeksploitasi kelurusan, sifat mudah percaya dan impian murni Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang tamat persekolahan.
Persoalan kritikalnya kini, adakah kita hanya berbangga melatih mereka dengan kemahiran vokasional, tetapi gagal memakaikan mereka dengan 'perisai digital' sebelum melepaskan mereka ke dunia luar?
Realiti kognitif: Mengapa mereka menjadi sasaran mudah?
Realiti yang memilukan ialah, belia OKU terutamanya yang mengalami masalah pembelajaran ringan atau berada dalam spektrum neurodivergen, mempunyai keazaman yang luar biasa.
Apabila mereka melangkah ke fasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tumpuan utama mereka dan keluarga adalah untuk membuktikan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dan menyumbang kepada komuniti.
Namun, keinginan luhur untuk berasa 'diperlukan' (sense of belonging) ini sering kali mengatasi kewaspadaan rasional.
Secara psikologinya, sindiket penipuan amat bijak menghidu kelompongan ini. Golongan rentan ini sering bergelut dengan defisit fungsi eksekutif, menyukarkan mereka untuk membaca niat tersirat, nada sinis atau agenda tersembunyi pihak lain.
Bagi mereka, sebuah mesej di Telegram atau TikTok yang diselitkan dengan kata-kata pujian dan janji manis diproses secara literal sebagai satu penghargaan yang ikhlas.
Sifat lurus bendul, kesunyian sosial dan keinginan untuk membalas budi orang yang 'membantu' memberi kerja, menjadikan mereka mangsa manipulasi bagi pemangsa siber.
Jerat modus operandi dan hakisan privasi data
Hari ini, sindiket penipuan pekerjaan beroperasi dengan skala industri yang menakutkan dan mereka tidak lagi memerlukan pertemuan bersemuka untuk memerangkap mangsa.
Semuanya dikendalikan melalui platform media sosial dan aplikasi pemesejan.
Iklan tawaran kerja sering disulam dengan naratif yang sangat menarik untuk OKU: 'kerja mudah dari rumah', 'masukkan barang dalam kotak', atau 'bantu rating e-dagang'.
Janji pulangan yang lumayan ditabur tanpa menuntut sebarang kelayakan akademik atau temu duga yang merumitkan.
Tanpa asas literasi privasi data yang dikawal ketat, belia OKU dengan mudah terpedaya dalam fasa 'dandanan' (grooming).
Mereka diarahkan untuk menyerahkan salinan kad pengenalan, membenarkan wajah mereka diimbas untuk pengesahan biometrik, malah rela membuka akaun perbankan dalam talian yang baharu berserta kata laluan yang diserahkan bulat-bulat kepada 'ejen' atas alasan memudahkan kemasukan gaji.
Akibat daripada kecurian identiti ini bukan sekadar kerugian kewangan, tetapi malapetaka jangka panjang.
Akaun bank mereka dijadikan medium transit (keldai akaun) untuk menggubah wang haram dari mangsa scam yang lain.
Sebelum sempat membina kerjaya sebenar, belia OKU ini mungkin berdepan trauma disoal siasat oleh pihak polis, nama disenarai hitamkan oleh Bank Negara Malaysia atau identiti dijaja kepada ceti haram (along) yang mula mengganggu ketenteraman keluarga.
Pendidikan literasi siber sebagai 'perisai' transisi
Menyedari ancaman yang semakin membarah ini, silibus transisi kerjaya untuk MBPK memerlukan anjakan paradigma yang radikal.
Latihan kemahiran vokasional seperti Pembuatan Roti, Pastri, Jahitan atau Asas Multimedia tidak lagi memadai jika tidak disekalikan dengan modul keselamatan siber dan kewarganegaraan digital yang komprehensif.
Literasi privasi data mesti diajar seawal di bangku sekolah menengah, bukan sekadar respons reaktif selepas tamat persekolahan.
Walau bagaimanapun, pendekatan pedagogi konvensional seperti syarahan sehala atau membaca buku teks adalah sangat tidak berkesan untuk golongan ini.
MBPK memerlukan intervensi dorongan tingkah laku (behavioral nudges) yang disepadukan melalui pembelajaran aktif dan pengalaman langsung. Di sinilah pendekatan gamifikasi dan teknologi pintar memainkan peranan penting.
Sebagai contoh, pendidik boleh mengadaptasi konsep simulasi gamifikasi digital di dalam bilik darjah.
Menerusi permainan simulasi melibatkan penyelesaian masalah ini, murid diuji dengan senario dunia sebenar di mana mereka perlu mencari petunjuk (clues) kecurigaan seperti pautan meragukan atau profil palsu dalam satu 'kontrak kerja' rekaan untuk 'melepaskan diri' dari jerat sindiket.
Begitu juga dengan penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) atau chatbot interaktif yang membolehkan murid berlatih mensimulasikan perbualan menolak tawaran (saying no) kepada scammer dalam persekitaran yang selamat.
Melalui latihan berulang ini, mereka membina refleks "Berhenti, Fikir, dan Tanya" (Pause, Think, Ask) individu dewasa yang dipercayai sebelum menekan sebarang pautan.
Inisiatif akar umbi: Membina ekosistem komuniti tempatan
Di sebalik inisiatif di dalam bilik darjah, kita harus mengakui bahawa kelompongan terbesar bermula daripada lompang struktur platform carian kerja.
Kesukaran belia OKU menavigasi portal yang kompleks telah menolak mereka ke ruang media sosial yang tidak dikawal selia.
Menyedari lompang infrastruktur ini, ekosistem sokongan komuniti yang dipercayai amat diperlukan.
Menerusi langkah proaktif menggerakkan organisasi berdaftar seperti PEKA OKU, kita dapat melihat bagaimana sokongan komuniti mampu dibina secara berstruktur.
Sebagai contoh, kumpulan Facebook PEKA OKU yang kini menghimpunkan hampir 12,000 ahli telah menjadi sebuah zon selamat dalam talian.
Di sinilah ekosistem ibu bapa, guru dan belia OKU saling menyokong, bertukar amaran tentang taktik scammer terkini serta berkongsi maklumat pendidikan dan peluang kerjaya hanya daripada sumber yang dipastikan kesahihannya.
Lebih dari itu, integrasi teknologi masa kini turut dimanfaatkan bagi mencipta persekitaran yang lebih selamat untuk mereka berdikari.
Pembangunan alat digital seperti Chatbot PEKA OKU direka khusus untuk membantu komuniti ini membuat carian pekerjaan dengan mudah secara percuma.
Platform sebegini bertindak sebagai lapisan saringan keselamatan digital dengan hanya menarik data pekerjaan daripada portal rasmi yang diyakini seperti MyFutureJobs, Indeed dan Jobstreet.
Ini secara langsung melindungi pengguna OKU daripada tersasar ke pautan palsu yang dicipta oleh sindiket.
Menanda aras global: Malaysia mampu lakukan
Namun, usaha akar umbi ini harus disambut oleh ekosistem makro di peringkat nasional.
Malaysia sebenarnya mampu dan sudah bersedia untuk mengadaptasi model penempatan kerjaya OKU yang bertaraf global.
Melihat kepada amalan terbaik antarabangsa, penanda aras terhadap model ekosistem seperti akademi dan ibu pejabat Specialisterne di Denmark membuktikan bahawa keselamatan data dan penempatan kerjaya golongan ini boleh diuruskan pada tahap tertinggi.
Dalam ekosistem yang matang ini, bakat-bakat neurodivergen tidak dibiarkan 'bersendirian' menavigasi pasaran kerja.
Sebaliknya, agensi perantara inilah yang bertanggungjawab menapis majikan, menstruktur persekitaran kerja dan memastikan data peribadi belia dilindungi sepenuhnya daripada manipulasi pihak ketiga. Malaysia mempunyai potensi besar untuk mereplikasi sistem berpusat yang selamat ini.
Menangkis ancaman penipuan pekerjaan dalam kalangan belia OKU bukanlah beban yang harus dipikul oleh mangsa itu sendiri; ia menuntut akauntabiliti kolektif.
Ia bermula dengan pendidik yang merangka modul inovatif di sekolah, komuniti sokongan seperti PEKA OKU yang menjadi benteng saringan digital, sehinggalah pembuat dasar yang memacu infrastruktur perlindungan seperti Specialisterne di peringkat nasional.
Membuka laluan kerjaya untuk anak-anak istimewa ini adalah satu tanggungjawab moral.
Membiarkan mereka meneroka belantara digital tanpa perisai pertahanan yang ampuh adalah satu bentuk pengabaian.
Sudah tiba masanya kita memastikan transisi kerjaya setiap belia OKU adalah sebuah perjalanan yang benar-benar memperkasakan masa depan mereka secara selamat dan bermaruah.
Maklumat penulis:
Guru Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Orkid Desa, Kuala Lumpur, Cikgu Siti Ainulmursyida Shamsudin. Beliau juga Pemenang Malaysia Teacher Prize 2025 dan Pengasas PEKA OKU (platform digital)