Pelajar SMK Putrajaya Presint 5 (1) menunjukkan hasil bahan berita yang dikumpul daripada surat khabar pada Bengkel Akhma peringkat kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Pelajar SMK Putrajaya Presint 5 (1) menunjukkan hasil bahan berita yang dikumpul daripada surat khabar pada Bengkel Akhma peringkat kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Akhbar, majalah lama diberi nafas baharu tarik minat membaca pelajar menerusi Bengkel Akhma

02 Jun 2026 03:50pm

Dalam era digital yang menyaksikan maklumat diperoleh hanya di hujung jari, peserta Bengkel Akhbar dan Majalah (Akhma) membuktikan bahawa akhbar dan majalah masih relevan apabila bahan bacaan tradisional itu diolah menjadi medium pembelajaran yang kreatif, interaktif dan lebih dekat kepada generasi muda.

Menerusi bengkel tersebut yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hampir 200 pelajar berjaya menghasilkan pelbagai bahan rujukan dan pembelajaran menggunakan keratan akhbar dan majalah lama.

Pelajar sekolah mengambil peluang ini menyertai Bengkel Akhma. Gambar kecil: Nurafidah.
Pelajar sekolah mengambil peluang ini menyertai Bengkel Akhma. Gambar kecil: Nurafidah.

Guru Cemerlang yang juga Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9(2), Nurafidah Mohd Khalid berkata, program itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan akhbar dan majalah yang dibekalkan ke sekolah, selain menjadikannya lebih relevan kepada generasi muda hari ini.

"Kadang-kadang akhbar yang dibekalkan tidak digunakan secara maksimum. Jadi kita ubahkan bahan itu kepada pelbagai bentuk yang lebih menarik supaya murid mahu membaca. Bahan asalnya masih akhbar tetapi apabila diolah kepada bentuk yang kreatif dan interaktif, murid lebih tertarik untuk melihat dan membacanya," katanya.

Beliau yang juga penceramah bengkel itu berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menghidupkan semula budaya membaca akhbar, malah membantu pelajar mengumpulkan maklumat mengikut topik dan isu semasa untuk dijadikan bahan rujukan pada masa hadapan.

Katanya, dalam era media sosial yang dipenuhi pelbagai kandungan tidak disahkan, pendedahan kepada akhbar penting bagi membantu pelajar membezakan maklumat sahih daripada kandungan rekaan.

"Kita tidak mahu murid hanya bergantung kepada media sosial. Mereka perlu sedar bahawa berita dalam akhbar ditulis oleh wartawan profesional dengan fakta yang jelas, lengkap dengan tarikh, masa, lokasi dan individu yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Melalui akhbar, mereka dapat memahami konsep 5W1H (Who, What, When, Where, Why, How) dan pada masa sama menggunakannya dalam penulisan karangan berita yang masih dipelajari di sekolah," katanya.

No Image Caption

Nurafidah berkata, walaupun aktiviti menghasilkan bahan daripada keratan akhbar kelihatan mudah, pelajar perlu memahami cara menyusun maklumat dengan betul agar fakta penting tidak tercicir.

Beliau berkata, peserta yang menyertai bengkel selama tiga jam itu turut membawa pulang hasil kerja masing-masing sebagai bukti pembelajaran dan kreativiti yang diterapkan sepanjang program.

Bengkel Akhma dianjurkan oleh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan dan merupakan penganjuran kali kedua program berkenaan.

Usaha memberi nafas baharu kepada akhbar dan majalah melalui pendekatan kreatif itu membuktikan media cetak masih mempunyai peranan penting dalam memupuk budaya membaca, memperkukuh literasi maklumat dan membentuk pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp