
Banggakan TVETMARA Lumut! Hafiz Fizuan & Mohd Fairuz dilantik Jurulatih Negara, galas misi Malaysia ke pentas dunia
Satu pengiktirafan membanggakan buat TVETMARA Lumut apabila dua pensyarahnya dipilih sebagai Jurulatih Negara bagi mewakili Malaysia dalam pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa yang berlangsung bulan ini.
Mereka ialah Muhammad Hafiz Fizuan Sharudin dan Mohd Fairuz Hamdzah, yang akan memainkan peranan penting dalam melatih serta membimbing peserta negara di pentas dunia.
Pelantikan tersebut membuktikan kepakaran tenaga pengajar TVETMARA terus mendapat kepercayaan dan pengiktirafan, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.
Menurut perkongsian TVETMARA Lumut di Facebook, Hafiz Fizuan dipilih sebagai Jurulatih Negara bagi bidang Cabinet Making.
Beliau akan menggalas tanggungjawab itu dalam WorldSkills Taiwan Forum & Pertandingan Persahabatan yang berlangsung dari 7 hingga 13 Jun 2026 di National Pingtung University of Science and Technology (NPUST), Taiwan.
Selain itu, beliau turut terlibat dalam WorldSkills Australia Global Skills Challenge 2026 yang menghimpunkan peserta berbakat dari pelbagai negara.
Sementara itu, Mohd Fairuz pula menerima pelantikan sebagai Jurulatih Negara bagi bidang Car Painting.
Beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke WorldSkills Australia Global Skills Challenge 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 29 Jun di Wollongong, New South Wales, Australia.
Mereka bukan sahaja bertanggungjawab melatih peserta, malah perlu memastikan wakil negara bersedia dari segi kemahiran teknikal, ketahanan mental dan keyakinan diri sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
Sinar Bestari mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan mendoakan agar Hafiz Fizuan dan Mohd Fairuz terus cemerlang dalam menggalas amanah sebagai Jurulatih Negara.
