Media sosial pada asalnya dibina untuk mendekatkan masyarakat. Ia membuka ruang komunikasi, perkongsian ilmu dan mempercepat penyampaian maklumat. Namun dalam keghairahan mengejar perhatian, jumlah tontonan dan reaksi pengguna, muncul satu budaya yang membimbangkan iaitu kecenderungan untuk berkongsi terlebih dahulu tanpa memikirkan kesan kepada orang lain. Foto: Canva. Gambar kecil: Mohamad Amirul
Media sosial pada asalnya dibina untuk mendekatkan masyarakat. Ia membuka ruang komunikasi, perkongsian ilmu dan mempercepat penyampaian maklumat. Namun dalam keghairahan mengejar perhatian, jumlah tontonan dan reaksi pengguna, muncul satu budaya yang membimbangkan iaitu kecenderungan untuk berkongsi terlebih dahulu tanpa memikirkan kesan kepada orang lain. Foto: Canva. Gambar kecil: Mohamad Amirul

Tidak semua yang viral wajar dikongsi

01 Jul 2026 03:22pm

Dalam dunia yang bergerak sepantas satu sentuhan skrin, satu peristiwa hari ini boleh menjadi perhatian seluruh negara dalam masa beberapa minit. Video kemalangan, rakaman pergaduhan, kisah peribadi malah detik sedih seseorang kini mudah dirakam dan disebarkan tanpa sempadan. Malaysia sendiri merekodkan lebih 29 juta pengguna media sosial, menjadikan negara antara yang mempunyai kadar penggunaan digital yang tinggi di rantau ini. Dalam ruang yang luas ini, satu persoalan semakin penting untuk ditanya, apabila setiap orang mahu menjadi yang paling cepat berkongsi dan paling awal menjadi viral, siapa sebenarnya yang menjaga adab digital?

Media sosial pada asalnya dibina untuk mendekatkan masyarakat. Ia membuka ruang komunikasi, perkongsian ilmu dan mempercepat penyampaian maklumat. Namun dalam keghairahan mengejar perhatian, jumlah tontonan dan reaksi pengguna, muncul satu budaya yang membimbangkan iaitu kecenderungan untuk berkongsi terlebih dahulu tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.

Hari ini, tidak sukar untuk melihat rakaman kemalangan dimuat naik sebelum bantuan tiba, wajah mangsa dipaparkan tanpa izin atau kisah peribadi dijadikan bahan percakapan. Ada yang merakam individu sedang berdepan detik sukar demi mendapatkan perhatian di media sosial.

Dalam banyak keadaan, sempadan antara berkongsi maklumat dan menjaga maruah manusia semakin kabur.

Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya ini semakin menjadi norma dalam kehidupan masyarakat. Kita mula mengukur nilai sesuatu kandungan berdasarkan jumlah tontonan dan bukannya kesan terhadap individu yang terlibat. Dalam keghairahan menjadi orang pertama yang berkongsi, ramai terlupa bahawa setiap kandungan melibatkan manusia sebenar yang mempunyai keluarga, emosi dan kehidupan di luar skrin telefon.

Adab digital bukan perkara baharu. Bahkan, ia adalah nilai lama yang perlu dibawa masuk ke dunia baharu. Jika dalam kehidupan sebenar kita diajar untuk menjaga tutur kata, menghormati privasi dan membantu orang yang dalam kesusahan, prinsip yang sama juga perlu diamalkan ketika berada di alam digital. Teknologi berubah, tetapi nilai kemanusiaan tidak sepatutnya berubah.

Ini tidak bermaksud masyarakat tidak boleh merakam atau berkongsi maklumat. Dalam banyak situasi, media sosial membantu menyebarkan maklumat kecemasan, menyegerakan bantuan dan meningkatkan kesedaran awam. Namun persoalannya ialah niat dan cara kita menggunakan medium tersebut. Adakah kandungan itu dikongsi untuk membantu atau sekadar mendapatkan perhatian? Adakah kita sedang menyampaikan maklumat atau sebenarnya sedang mengeksploitasi keadaan?

Generasi muda sering dikaitkan dengan penggunaan media sosial, tetapi hakikatnya isu adab digital melibatkan semua lapisan masyarakat. Orang dewasa, ibu bapa, organisasi malah institusi juga mempunyai tanggungjawab yang sama. Literasi digital hari ini bukan sekadar mengajar cara menggunakan aplikasi, tetapi mendidik masyarakat supaya memahami tanggungjawab dalam menghasilkan kandungan.

Institusi pendidikan boleh memainkan peranan dengan memperkukuh pendidikan berkaitan etika digital dan pemikiran kritikal sejak di bangku sekolah. Komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan juga boleh mainkan peranan dalam menggerakkan kempen kesedaran tentang penggunaan media sosial yang lebih beretika.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kerajaan juga mempunyai peranan penting dalam memastikan ruang digital kekal sihat melalui penguatkuasaan undang undang dan pendidikan awam secara berterusan. Namun peraturan semata mata tidak mencukupi jika masyarakat sendiri tidak mempunyai kesedaran dan disiplin kendiri.

Setiap kali kita menekan butang rakam, kongsi atau hantar, ada persoalan yang wajar ditanya kepada diri sendiri. Jika individu dalam gambaran itu ialah ahli keluarga kita, adakah kita masih mahu memuat naik perkara yang sama?

Kemajuan teknologi tidak sepatutnya menghakis nilai kemanusiaan yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat. Dalam dunia yang semakin pantas dan dipenuhi persaingan untuk mendapatkan perhatian, adab perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital. Tidak semua yang boleh dirakam perlu dikongsi dan tidak semua yang menjadi perhatian wajar dijadikan tontonan.

Sebelum menekan butang muat naik, mungkin persoalan paling penting untuk ditanya bukan sama ada kandungan itu mampu menjadi viral, tetapi sama ada tindakan itu masih menghormati maruah dan perasaan manusia. Kerana ukuran sebenar kematangan digital bukan terletak pada siapa yang paling pantas berkongsi, tetapi siapa yang paling bijak dan bertanggungjawab dalam menggunakan ruang yang dimiliki.

Maklumat penulis:

Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia, Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp