Dengan kerjasama Financial Faiz dan tajaan CIMB Foundation, program berkenaan menghimpunkan kira-kira 300 mahasiswa UiTM bagi memberi pendedahan berkaitan amalan kewangan yang bijak serta persediaan menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.
Dengan kerjasama Financial Faiz dan tajaan CIMB Foundation, program berkenaan menghimpunkan kira-kira 300 mahasiswa UiTM bagi memberi pendedahan berkaitan amalan kewangan yang bijak serta persediaan menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.

'BeSmart Financial Literacy' buka mata mahasiswa UiTM tentang dunia kewangan

15 Jul 2026 02:56pm

Pengurusan kewangan bukan kemahiran yang hanya perlu dipelajari apabila seseorang sudah memasuki alam pekerjaan, sebaliknya perlu dipupuk sejak di bangku universiti.

Kesedaran itu mendorong Entrepreneurial Society for the Faculty of Applied Sciences (ESAS), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menganjurkan BeSmart Financial Literacy bagi memperkasa pengetahuan mahasiswa mengenai pengurusan kewangan peribadi.

Dengan kerjasama Financial Faiz dan tajaan CIMB Foundation, program berkenaan menghimpunkan kira-kira 300 mahasiswa UiTM bagi memberi pendedahan berkaitan amalan kewangan yang bijak serta persediaan menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.

Menurut kenyataan media, program dirasmikan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Gunaan, Profesor Madya Dr Asmida Ismail, dengan turut dihadiri barisan pensyarah, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta ahli jawatankuasa ESAS. 

No Image Caption

"Di bawah penyeliaan Profesor Madya Ts ChM Dr Raseetha Vani Siva Manikam dan Ts Dr Muhamad Fareez Ismail, program ini menjadi platform penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran mengurus aspek kewangan kehidupan seharian,” kongsinya.

Kata kenyataan itu lagi, sesi perkongsian utama disampaikan Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi yang berkongsi ilmu berkaitan pengurusan kewangan peribadi khusus untuk golongan muda.

"Antara perkara yang diberi penekanan termasuk penyediaan bajet bulanan, pengurusan aliran tunai, penggunaan kad kredit secara berhemah, pengurusan hutang, kepentingan rekod CCRIS, risiko kebankrapan serta perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat sebarang pelaburan.

Artikel Berkaitan:

"Pendedahan tersebut penting supaya mahasiswa dapat memahami bahawa keputusan kewangan yang dibuat pada usia muda mampu memberi kesan terhadap kehidupan mereka pada masa hadapan. 

No Image Caption

"Malah, mahasiswa turut berpeluang berkongsi pengalaman serta mengemukakan persoalan berkaitan cabaran kewangan yang sering dihadapi golongan belia termasuk tabiat perbelanjaan, pengurusan pinjaman dan usaha membina rekod kredit yang baik.

"Pendekatan santai dan interaktif menjadikan sesi perkongsian lebih mudah difahami, sekali gus membantu peserta melihat pengurusan kewangan sebagai satu kemahiran penting dalam kehidupan,” ujarnya lagi.

Selain sesi literasi kewangan, program turut menampilkan sesi podcast berkaitan isu kewangan semasa dari perspektif mahasiswa serta aktiviti Kuiz Kahoot yang mendapat sambutan menggalakkan.

Seramai 25 peserta yang memperoleh markah tertinggi menerima pelbagai hadiah menarik, manakala lima pemenang utama membawa pulang hadiah istimewa termasuk jam pintar, tablet Redmi, iPad Apple dan MacBook Neo.

Sementara itu, Pengarah Program, Nuryasmin Yasir berkata, penganjuran BeSmart Financial Literacy diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang lebih berdisiplin dalam mengurus kewangan serta mampu membuat keputusan kewangan secara bijak. 

No Image Caption

Beliau turut berharap ilmu yang diperoleh sepanjang program dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan menjadi bekalan berguna apabila mahasiswa melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Program BeSmart Financial Literacy membuktikan bahawa ilmu kewangan merupakan antara aspek penting dalam pembangunan diri mahasiswa. Dengan pengetahuan yang tepat, generasi muda bukan sahaja mampu mengurus wang dengan lebih baik, malah lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp