
'Di saat keluarga berdepan kesukaran, rezeki ini hadir memberi harapan. Terima kasih BAeK PTPTN'
Keprihatinan menerusi Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) memberi sinar baharu kepada Aiman Haiqal Mohamad Amir, 19, pelajar Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Kuching Sarawak (PKS), yang sebelum ini berdepan cabaran kewangan selepas bapanya kehilangan pekerjaan.
Aiman berkata, beliau bersyukur dan terharu apabila dimaklumkan terpilih sebagai penerima biasiswa berkenaan kerana bantuan itu hadir tepat pada masanya ketika keluarganya berdepan kesukaran.
Beliau berkata, bapanya, Mohamad Amir Nen, 52, sebelum ini bekerja sebagai pekerja kilang, namun kehilangan pekerjaan apabila syarikat tempat beliau bekerja ditutup akibat muflis kira-kira seminggu selepas Aiman memulakan pengajian diploma pada awal tahun ini.
"Ibu saya, Sharifah Noralijan Wan Sadon pula tidak bekerja dan keluarga mereka kini bergantung tanpa sumber pendapatan tetap.
"Biasiswa ini membawa makna yang sangat besar kepada keluarga kami. Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi penyelamat yang memastikan saya dapat meneruskan pengajian tanpa membebankan lagi ibu bapa," katanya.
Beliau berkata, bantuan itu membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran tanpa perlu lagi memikirkan masalah kewangan atau kos pengajian.
"Saya tidak perlu lagi rasa terbeban memikirkan bagaimana untuk menampung perbelanjaan harian atau membeli buku rujukan. Bantuan ini secara tidak langsung memberi ketenangan kepada saya untuk meneruskan pengajian tanpa terlalu memikirkan masalah kewangan," katanya.
Beliau berkata, impiannya adalah untuk menceburi sektor korporat atau bidang perniagaan serta membina kerjaya yang stabil dalam bidang pengurusan atau keusahawanan.
"Matlamat itu didorong oleh hasrat saya untuk mengubah nasib serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga pada masa hadapan," katanya.
Dalam pada itu, Aiman turut menitipkan pesanan kepada pelajar lain yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan supaya tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk berhenti mengejar cita-cita.
"Saya amat bersyukur kerana terpilih sebagai penerima BAeK PTPTN. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita.
"Terima kasih kepada kerajaan dan PTPTN kerana membuka peluang kepada pelajar seperti saya untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang," tambahnya.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN ini pula telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar.
Melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di IPTA mulai 1 Januari 2026.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke IPTA disebabkan kekangan kewangan.