
UTHM terima aset pertahanan bernilai tinggi, perkukuh penyelidikan strategik negara
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah ke hadapan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa apabila menerima dua aset strategik pertahanan negara bernilai tinggi menerusi rakan industrinya, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) Sdn Bhd.
Dua aset berkenaan iaitu System Integration Bench (SIB) dan Human Machine Interface (HMI), kini ditempatkan secara rasmi di pusat kolaborasi industri UTHM, UTHM-ATSC Integrated Engineering Centre (UAC).
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr Mas Fawzi Mohd Ali, penempatan kedua-dua aset itu menjadikan UTHM sebagai universiti pertama yang menerima aset pertahanan strategik negara bernilai tinggi.
"Aset-aset ini bakal memainkan peranan penting dalam memperkasa kajian operasi dan tahap kesiapsiagaan pesawat Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Penempatan aset berteknologi tinggi di UTHM ini juga bakal membuka lebih peluang kolaborasi penyelidikan antara pakar akademik universiti dan barisan jurutera ATSC.
"Pada masa sama, inisiatif berkenaan memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar UTHM menerusi peluang pembelajaran berorientasikan industri serta pendedahan teknikal secara praktikal," katanya.
Penempatan aset itu juga rentetan daripada kejayaan beberapa projek kolaborasi sebelum ini antara UTHM dan ATSC.
Terdahulu, satu sesi lawatan tapak dan taklimat mengenai perancangan pengoperasian aset berkenaan telah diadakan di UAC pada 9 Julai lalu.
Sesi tersebut telah dihadiri oleh pemimpin utama dari pihak kerajaan, industri dan universiti.
Antaranya Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan, Datuk Alan Abdul Rahim; Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr Mas Fawzi Mohd Ali dan Presiden Kumpulan National Aerospace and Defence Industries (NADI), Datuk Edron Hayata Ahmad.
Hadir sama Pengarah NADI, Brigedier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Rahim Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif ATSC, Leftenan Kolonel (B) Datuk Fadzar Suhada TUDM, pengurusan tertinggi dan staf UTHM.