Bukan peperiksaan berimpak tinggi

Matriks Pembelajaran Tahun 4 menjadi instrumen mengenal pasti keperluan pembelajaran setiap murid

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
27 Jul 2026 01:00pm

Pentaksiran baharu dalam Rangka Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan guru mahupun ibu bapa.

Ada yang bimbang ia menjadi beban kepada murid, malah tidak kurang juga menyangka ia sebagai pengganti kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Hakikatnya, Ujian Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang bakal dilaksanakan mulai Oktober depan, bukanlah peperiksaan berimpak tinggi.

Pensyarah Kanan Kurikulum Jabatan Pengajian Pendidikan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Azli Ariffi n berkata, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 tidak sepatutnya menjadi punca kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Sebaliknya, kata beliau, inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu perlu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kualiti pendidikan melalui penilaian berasaskan data.

“Persepsi bahawa setiap bentuk penilaian memerlukan persediaan seperti peperiksaan perlu diubah kerana Matriks Pembelajaran Tahun 4 bukan penentu kejayaan atau kegagalan murid.

“Ibu bapa tidak perlu terburu-buru menghantar anak mengikuti kelas tuisyen semata-mata bagi menghadapi matriks (Matriks Pembelajaran Tahun 4) ini.

“Matlamat utamanya adalah sebagai instrumen diagnostik untuk mengenal pasti tahap penguasaan sebenar murid terhadap kemahiran asas membaca, menulis dan mengira serta kompetensi pembelajaran yang diperlukan mengikut tahap persekolahan,” katanya kepada Sinar Bestari.

Peperiksaan ini juga bukan bertujuan memberi tekanan kepada murid tetapi menyediakan data lebih tepat mengenai tahap penguasaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Secara tidak langsung, ujar Azli, ia akan membantu guru untuk merancang intervensi lebih sistematik, berfokus dan sesuai dengan keperluan setiap individu.

“Pendekatan ini mencerminkan perubahan lanskap pendidikan yang semakin memberi penekanan kepada penggunaan data dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Hasil dapatan matriks bukan sahaja gambaran pencapaian murid, malah ia indikator keberkesanan pendekatan pengajaran guru di bilik darjah.

“Guru dapat menilai semula strategi pengajaran yang digunakan berdasarkan bukti dan data yang diperoleh.

"Pendekatan pendidikan berasaskan data seperti ini semakin penting dalam sistem pendidikan moden kerana ia membolehkan penambahbaikan dilakukan secara lebih tepat dan berkesan,” katanya lagi.

Keberkesanan dasar pendidikan

Azli berkata, manfaat pelaksanaan matriks ini melangkaui bilik darjah apabila data yang dikumpul boleh dimanfaatkan KPM bagi menilai keberkesanan dasar pendidikan secara menyeluruh.

Katanya, data itu boleh digunakan bagi memperkukuh kurikulum, tambah baik latihan guru dan kenal pasti keperluan sokongan pembelajaran mengikut kawasan serta latar belakang murid.

“Apabila data diperoleh secara sistematik di peringkat kebangsaan, KPM mempunyai asas kukuh untuk merancang penambahbaikan dasar pendidikan, memperkasakan kurikulum dan memastikan setiap murid menerima intervensi sesuai tanpa mengira lokasi atau latar belakang,” katanya.

Tambah beliau, Matriks Pembelajaran Tahun 4 selaras aspirasi RPM 2026–2035 yang memberi penekanan kepada peningkatan kemenjadian murid, kesejahteraan pendidikan, pengukuhan kualiti pengajaran serta penggunaan data dalam membuat keputusan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp